Naked Sport Bike, itulah gelaran sinonim dengan rekabentuk serta kemampuan mengikut trend masa kini yang ada padanya. Roadstar berpeluang menguji motosikal Yamaha yang akan menerjah pasaran motosikal berkuasa tinggi di Malaysia. Sedikit info untuk sisipan pembaca Roadstar, di Amerika Utara model ini dikenali sebagai Yamaha FZ-09 dan di pasaran negara kita dengan nama MT-09.
Ada pepatah berbunyi “sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya”, adakah setelah mendengar jenama Yamaha apatah lagi motosikal berkuasa tinggi, akan sama rentak serta kemampuannya? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Justeru itu, diharapkan sudi menatapi dan menghayati hasil ujian dilakukan ke atas jentera ini hingga ke noktah terakhir.
Kaget juga kerana apa yang dilihat dalam gambar tidak sama dengan di depan mata. Tangki minyak yang agak lebar, tangki air yang besar serta agak sedikit terkeluar dari casis tanpa sebarang cover bagi melindunginya. Enjin yang begitu kompak serta “3 Into 1” sistem ekzos yang canggih bagi sebuah Motor Naked. Kalau diperhatikan bentuk ekzos motor ini sama seperti model Yamaha R-6. Penelitian merupakan rutin bagi saya sebelum enjin dihidupkan setiap kali mengambil motosikal untuk tunggang uji.
Fork yang terbalik serta mono belakang yang mendatar kedudukannya menampakan kestabilan kedudukan motor ini walaupun dalam keadaan parking. Pelana yang lebih ke arah mensasarkan keselesaan bagi penunggang yang rendah jelas kelihatan di mana pelana depan mendatar serta agak kedalam tetapi tidak menjunam. Saya definasikan ia sebagai “Duduk Dalam Motor”.
Lampu belakang yang agak pelik tetapi ringkas dan menarik. Sekali pandang rekabentuk lampu belakang ini teringat zaman menunggang Yamaha GT-200. Dua pembaharuan yang terdapat pada model ini. Ractifire telah diletakkan di bawah pelana serta terdedah kepada peredaran udara. Mungkin jurutera Yamaha yang merekacipta model ini mengambil langkah untuk mengelakkan kepanasan kepada alat tersebut yang berfungsi menerima dan mengalirkan arus letrik sepanjang enjin motosikal dihidupkan. Pembaharuan yang kedua ialah kedudukan kunci untuk membuka pelana (seat). Kebiasaannya lubang kunci berada di tepi kiri atau kanan, tapi tidak pada motosikal ini. Kedudukannya dilindungi oleh penutup plastik serta terletak betul-betul di bawah pelana. Kedudukan kunci dan Ractifire ini adalah berdekatan. Di mana kita kena perhatikan betul-betul di bawah pelana.
Apa yang bermain dalam fikiran saya setelah meneliti perkara asas yang terdapat di motorikal ini? Cuma satu; pasti jentera ini berat dan perlu berhati-hati ketika berdepan dengan jalaraya yang sesak. Setelah kunci dimasukan maka bermulalah tunggang uji terhadap MT-09. Nampaknya pepatah di awal tadi tidak boleh diguna pakai untuk model ini. Kedudukan kunci dan meter berbeza. Kedudukan meter sedikit ke kanan. Sementara kedudukan kunci agak ke depan.
Seperti kebanyakan model motosikal terkini mengunakan digital meter, begitu juga dengan MT-09 ini. Paparan digital meter yang menarik serta pelbagai info asas tentang motosikal terdampar di meter apabila suis dibuka. Ya, ada satu lagi pembaharuan dilakukan jurutera Yamaha. Apakah itu? Di mana penolak suis untuk enjin off dan on? Di mana letaknya penolak suis untuk menghidupkan enjin? Kedua-dua penolak suis tersebut digabungkan sekali. Pelik betul. Mungkin saya akan ketemukan jawapannya setelah motosikal ini bergerak.
Saya juga dapati terdapat butang suis untuk “Mod” yang terletak berhampiran dengan penolak suis lampu kecemasan(Hazard). Maka terjawablah soalan kenapa penolak suis untuk hidupkan enjin serta penolak suis On dan Off digabungkan. Ternyata jurutera Yamaha ingin menjimatkan ruang agar nampak lebih kompak. Sementara di handle bar sebelah kiri ruang serta suis-suis yang ada sama seperti motosikal yang lain. Cuma butang suis untuk Hon agak lebih kecil sedikit. Saranan kepada pemilik atau yang ingin menunggang Yamaha MT-09, anda perlu ingat butang suis “Mod” di sebelah kanan dan bukan seperti motosikal lain yang terletak di sebelah kiri handle bar.
Kedua belah cermin pandang belakang tidak banyak beza dengan model Yamaha yang lain. Teruja sekali apabila handle motosikal dipusingkan. Pusingan handle agak luas dan ringan, cukup bagus untuk menyelit ketika berdepan kesesakan jalanraya.
Pilihan mod yang diberikan hanyalah 3; “A, Standard dan B”. Mod ini merupakan kawalan penghantaran kuasa semasa menunggang bersesuaian mengikut kehendak penunggang. Saya mulai menunggang motor ini dengan mod standard. Satu kejutan berlaku, rupa-rupanya MT-09 yang berat basahnya 188kg cukup ringan apabila menunggangnya. Rasa semacam menunggang 250cc pun ada. Ternyata amat senang untuk dikawal. Saya tertanya pada diri sendiri adakah saya menunggang Naked Sport Bike atau Scrambler. Nampaknya Yamaha berjaya mengurangkan berat keseluruhan MT-09 dengan menggunakan casis aluminium, roda aluminium serta pengunaan omboh aluminium tempaan.
Tidak dinafikan enjin “Cross Plane” sama seperti Yamaha R-1 model 2010 yang terpasang di MT-09 cukup agresif di mana ianya dikuasai oleh enjin tiga silinder sebaris yang bersesaran 847cc . Jentera ini yang tidak dibekalkan dengan pelbagai alat eletronik kompleks kecuali Pendikit Ride-By Wire(Rbw). Kelainan jelas dapat dirasakan apabila pendikit dibuka secara perlahan-lahan. Dalam mod standard kita masih dapat rasa betapa agresifnya motor ini.
Hasil ujian kepada 3 mod tersebut. Saya merumuskan iaitu mod A sememangnya agresif dan pengunaannya bagi mereka yang lebih cenderung kepada pecutan kerana ianya menawarkan kuasa yang lebih mantap. Sementara mod B amat sesuai tatkala menunggang di bandar mahupun jalan yang basah. Penghantaran kuasa agak kurang dan terasa lebih konsisten semasa mula-mula pendikit dibuka. Memang menakjubkan, setiap kali pendikit dibuka. Saya dapat rasakan penyebaran tork yang sangat luas. Inilah dikatakan kuasa daripada enjin lebih dari apa yang diperlukan. Kepada penunggang yang kaki wheelie, MT-09 sememangnya sesuai. Dari gear satu hingga ke gear empat, saya dapat rasakan betapa ringannya roda depan dan cuma perlukan bukaan lebih sedikit saja pada pendikit sudah tentu cukup senang untuk wheelie.
Saya pernah memiliki jentera Eropah serta berpengalaman dengan motosikal yang mempunyai mod merasa teruja dengan proses penukaran mod yang ada pada MT-09 ini. Hanya mengambil masa 0.1 saat, penukaran akan berlaku. Cepat dan canggih. Empat ujian dilakukan untuk penukaran mod. Pertama sudah pastinya mengikut buku panduan; ketika berhenti. Kedua semasa menunggang pada kelajuan 90km/j, di mana pendikit terpaksa dilepaskan. Ketiga menunggang pada kelajuan 110km/j pendikit dilepaskan tetapi klac ditarik. Keempat kelajuan 180km/j pendikit dilepaskan. Rumusannya, Yamaha mementingkan keselamatan ketika penukaran mod dilakukan. Ini kerana setiap kali penukaran mod dilakukan pendikit mesti lepaskan. Ketika pendikit dibuka penukaran mod gagal dilakukan. Kecanggihan pada mod ini pula, selepas enjin dimatikan ianya akan secara automatik bertukar kepada mod standard apabila enjin dihidupkan kembali.
Meskipun berada pada tahap gear yang tinggi iaitu enam, kuasa enjin masih kuat untuk menarik motosikal apabila ingin memotong kenderaan di hadapan. Kuasa tarikan enjin ini juga memainkan peranan penting tatkala gear diturunkan dalam keadaan yang mendesak. Dengan pengunaan brek cakera terapung 298 mm dan berkaliper empat piston pada roda hadapan cukup meyakinkan serta dibantu oleh brek cakera terapung 245mm dibelakang.
Kedudukan tunggangan yang tegak serta hendal bar yang luas turut membantu pengendalian motosikal ini. Penukaran arah yang senang ketika masuk dan keluar dari sudut selekoh cukup mengagumkan. 14 liter tangki minyak yang tersedia dipasang pada motosikal ini memang membantu kerana lengkuk yang terdapat pada kedua belah tangki merupakan tempat di mana lutut serta peha boleh diselitkan ketika memecut. Dengan rupabentuk yang slim tapi lebar memberikan keselesaan ketika menunggang.
Yamaha MT-09 sebuah motosikal stailo kerana bergaya baharu dan keseronokan menunggangnya dalam tiga versi iaitu Naked, Superbike dan Scrambler. Naked kedudukannya yang menegak dan tinggi seolah-olah motosikal touring. Superbike, tidak dinafikan sistem enjin “Cross Plane” 3 silinder dan sistem ekzos 3 INTO 1 betul-betul memberikan kuasa superbike serta dibantu 3 mod yang sedia dipasang. Scrambler yang paling seronok, cukup ringan serta pengendalian yang setaraf motosikal off road.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 15