HONG LEONG YAMAHA membuka lembaran tahun 2020 dengan menawarkan tiga model X Max 250cc dengan penampilan warna yang lebih segar berbanding edisi sebelumnya. Tiga warna yang ditawarkan adalah Hitam Matt (Matt Black), Biru Matt (Matt Blue) dan Perak Matt (Silver Matt).
Paling menarik warna Matt Black yang dipadankan dengan sports rim warna gold. Selain sports rim, calitan tanda XMax turut diwarna gold khas untuk model Matt Black. Sementara, dua pilihan warna lain masih mengekalkan identiti yang sama.
Untuk rekod, jentera skuter Yamaha ini dilengkapi dengan enjin 250cc Blue Core sejukan cecair SOHC dengan CVT, jentera ini menawarkan kuasa maksimum 23 PS manakala tork 23 Nm. Enjin kompak tidak sahaja mengurangkan berat keseluruhan, malah lebih senyap selain mesra alam yang memenuhi ketetapan emisi Euro 4.
Yamaha X Max dibekalkan tangki dengan kapasiti bahan api 13 liter. Ia merupakan skuter mewah segmen pertengahan yang sesuai untuk tunggangan dalam sebarang keadaan jalan raya sama ada di bandar atau lebuh raya. Konsep rekaannya juga diinspirasikan daripada siri model ikonik TMax dengan gaya premium termasuk elemen bentuk agresif.
Pelindung angin dan kedudukan pemegang boleh laras menawarkan tunggangan lebih santai dan selesa. Lampu hadapan dengan talaan LED dilengkapi Lampu Nyalaan Siang (DRL) tidak sahaja menyerlahkan gaya, malah mudah membuatkan jentera ini dilihat pengguna jalan raya lain.
Panel instrumen meter LCD menempatkan Paparan Maklumat Pelbagai (MID) dengan latar belakang hitam kelihatan lebih sporty dan mudah dilihat. Antara ciri lain yang ditawarkan adalah sistem kunci pintar untuk menghidupkan enjin, mengunci besi pemegang atau membuka tempat duduk tanpa perlu memasukkan kunci.
Pada masa sama, kunci pintar berfungsi sebagai pengesan motosikal di ruang parkir yang luas. Paling memudahkan ruang simpanan barang dan lampu LED di bawah tempat duduk yang mampu memuatkan dua topi keledar berpenutup penuh.
Selain itu, menarik mengenai jentera XMax ini, ia dilengkapi port pengecas 12V di bawah pemegang hadapan untuk mengecas gajet atau telefon pintar. Untuk pengendalian yang lebih mantap, XMax dipasangkan dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Kawalan Cengkaman (TCS).
Tiga warna ditawarkan untuk model versi 2020 iaitu Matt Silver, Matt Blue dan Matt Black tanpa peningkatan harga kerana model ini masih kekal pada tag bermula RM21,500 (tanpa insurans/plat no dan cukai jalan) dan ia berada di pengedar Yamaha seluruh negara Januari ini.
Disediakan oleh : Mohd Izzuddin Kamaruddin