Boon Siew Honda mengorak langkah awal di tahun 2020 dengan memperkenalkan tiga model utama dalam segmen motosikal premium ke pasaran di Malaysia. Tiga model tersebut iaitu Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, Honda GL1800 Gold Wing serta Honda CRF1100L Africa Twin dan CFR1100L Africa Twin Adventure Sports.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda (BSH) Keiichi Yasuda berkata model-model ini adalah yang pertama dilancarkan di Malaysia untuk pasaran Asia dan Oceania bagi tahun 2020.
“Tiga model motosikal ini dijangka bakal mengukuhkan pasaran motosikal berkuasa tinggi Honda di negara ini yang sesuai untuk pelbagai jenis perjalanan dan gaya tunggangan,” ujar Keiichi Yasuda.
Honda CBR1000RR-R Fireblade SP
Model CBR1000RR-R Fireblade SP merupakan sebuah jentera baharu yang dibina dengan fokus pada keadaan seperti litar lumba juga pada tahap prestasi dan kawalan yang belum pernah dirasai sebelumnya.
Berada dalam kategori ‘supersport’ model ini dijana oleh enjin 1,000cc empat silinder sebaris dibangunkan atas teknologi HRC yang beraksi dalam saingan MotoGP pada harga RM198,800 seunit.
Jentera ini dijual pada unit terhad untuk jualan awam, mempunyai banyak kelebihan seperti kecekapan pembakaran bahan api, teknologi geseran yang rendah hampir sama seperti jentera perlumbaan RC213V-S.
Honda GL1800 Gold Wing
Honda GL1800 Gold Wing bagi model 2020 menampilkan ciri-ciri penambahbaikan dengan penggantungan dan keboleh-kendalian kelajuan perlahan lagi melengkapkan evokatif dalam empat mood, enjin enam silinder sebaris merupakan jentera tourer paling premium dalam barisan model baharu yang diperkenalkan oleh Honda.
Pelbagai ciri tambahan diketengahkan pada jentera ini dan ia dijual pada tag harga RM208,800 seunit.
Honda CRF1100L Africa Twin dan Africa Twin Adventure Sports
Satu evolusi utama yang terdapat pada jentera Honda ini: prestasi di jalan off-road yang tampak lebih mudah kerana ia didatangkan melalui casis yang lebih ringan, slim work gaya rali dan bar handle yang lebih selesa.
Beratnya juga dikurangkan sebanyak 5kg, manakala kapasiti enjin ditingkatkan, sekali gus menambahkan kuasa dan tork berbanding versi sebelum ini.
Model adventure terbaharu bagi versi 2020, Honda CRF1100L Africa Twin dan ‘kembarnya’ Africa Twin Adventure Sports terdapat dua varian kotak gear pilihan samada manual dan automatik dan dijual pada harga RM98,888 hingga RM117,888.