Satu program ride unik anjuran pelopor ukhuwah permotoran iaitu Bro Zass dari ROSE Riders Entertainment telah pun berlangsung pada 23 Julai lalu. Program Support Each Others 1 yang berlangsung di Daerah Kerian dan Larut Matang di Perak ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dari peminat permotoran dua roda.
Bagi makluman, program ini menyasarkan lokasi pitstop (hentian) yang popular dalam kalangan penunggang motosikal di sekitar daerah tersebut. Sebanyak tiga pitstop telah terpilih yang dijadikan persinggahan sepanjang program berlangsung iaitu Route A2 (Bro Faizal), Route A60 (Paksu Majid) dan Route A190 (Bro Syed Navy).
Matlamat atau motif utama penganjuran program ini adalah untuk menaikkan penjenamaan pitstop-pitstop yang terpilih dan dalam masa yang sama, menularkan agar dapat menarik perhatian para pengunjung tempatan dan juga luar negara. Salah satu usaha yang baik untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan umum juga tahu, kuasa ‘viral’ boleh memberikan kesan yang positif.
Sebanyak 130 jentera telah berkumpul di Bukit Merah Lake Town dan bergerak ke setiap pitstop seperti yang telah dijadualkan. Kemeriahan cukup dirasakan apabila setiap persinggahan mendapat liputan dari semua rangkaian termasuk disambut baik oleh masyarakat setempat.
Program dengan usaha yang baik ini akan diteruskan dan lokasi seterusnya adalah di Teluk Intan!