Bermaksud tempat kediaman salji, Himalaya merupakan banjaran di Asia yang dibahagikan antara Himalaya Barat dan Himalaya Timur. Dua negara berdaulat, Nepal dan Bhutan memisahkan anak benua India dari dataran tinggi Tibet. Himalaya juga memanjang sepanjang lima negara Pakistan, India, China, Bhutan dan Nepal, mempunyai dua sungai besar dunia; Sungai Indus dan Sungai Ganga-Brahmaputra. Lebih kurang 750 juta orang tinggal di daerah sekitar aliran air dari Himalaya ini termasuk Bangladesh yang juga terdiri dari gunung-gunung tertinggi dunia seperti Everest dan Kangchenjunga. Sebahagian besar penduduk wilayah ini berbangsa Indo-Arya atau keturunan Tibeto-Burma dan agama utama Buddha dan Hindu.
Mengembara dengan menunggang motosikal ke utara India sekitar Himalaya (Leh, Ladakh) atau Himachal Pradesh, Zanskar, Sikkim dan Darjeeling sesuai dilakukan ketika musim panas pada bulan Jun hingga September. Cuaca di sini tidak panas seperti di New Delhi kerana terletak di pinggiran Himalaya. Jalan darat dari Manali ke Leh pula hanya dibuka sekitar Jun-Oktober ekoran cuaca panas dan salji cair, memudahkan perjalanan berbanding awal tahun di mana kawasan ini dipenuhi salji tebal dan jalan darat tidak boleh dilalui kecuali melalui jalan udara. Sekitar tahun 2013, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali Bikers Choice bersama rakan-rakan mula meneroka pergunungan Himalaya. Pada Ogos lalu, Bikers Choice menganjurkan Riding High Himalaya yang disertai 3 biker dari Malaysia dan 3 biker dari England. Sementara menunggu ketibaan bikers dari England, para peserta bermalam di New Delhi.
Sebelum pengembaraan dimulakan pada hari pertama, saudara Fadil dan Nik menyambut kedatangan Chris, Ian dan John dari England yang tiba sekitar pukul 12.30 tengah hari. Perjalanan Riding High Himalaya bermula sekitar 1.45 tengah hari dengan menaiki bas, keluar dari New Delhi menuju Shimla. Laluan keluar dari New Delhi lebih sesak berbanding Kuala Lumpur dan sepanjang perjalanan hon dibunyikan. Mujur penduduk di sini penyabar dengan keadaan lalu lintas. Hanya di India anda akan mendengar bunyi hon dari pagi ke malam di sepanjang jalan raya. Perjalanan dari New Delhi ke Shimla lebih kurang sejauh 358.4km. Disebabkan kesesakan jalan raya dengan keadaan jalan yang berliku, para peserta tiba di Sukh Sagar Regency di Shimla lebih kurang pukul 8.30 malam.
Bermalam selama dua malam di bandar Shimla yang terletak lebih kurang 3000 meter dari aras laut dan seluruh bandar terletak di lereng gunung. Riding High Himalaya bermula dari Shimla menuju destinasi terakhir di Leh. Terdapat banyak pokok epal dan dikatakan epal paling sedap ditanam di lembah Kinnaur ini. Gunung Kinner Kalash pula dikenali sebagai gunung permai yang terletak di Kalpa, lebih kurang 2700 meter dari dasar laut. Para peserta bermalam di Kinner Villa. Perjalanan diteruskan tetapi berhenti seketika gara-gara para peserta ingin bergambar di tebing yang dikenali sebagai Tebing Maut (Suicide Point). Satu pengalaman agak mencabar untuk melihat ke bawah kerana ia sangat curam. Seterusnya, para peserta ride bermalam di hotel khemah 3 bintang di Nako yang terletak 3700 dari dasar laut. Bermalam dalam khemah di sini agak istimewa kerana setiap khemah disediakan kelengkapan seperti bilik hotel. Bilik air juga disediakan dalam khemah bersama tandas duduk, sinki dan air paip sesejuk ais. Sekiranya memerlukan air panas, hanya minta dari pihak pengurusan dan satu baldi air panas disediakan untuk kegunaan ketika cuaca sejuk.
Beralih pula kepada pengalaman menunggang di daerah Tabo dan untuk perjalanan ini, para peserta terpaksa melintasi sungai yang mengalir agak deras. Air sungai ini datang dari atas gunung mengalir ke bawah dengan bekas batu-batu runtuhan. Di sini, para peserta bermalam di Kaza. Dari Kazak ke Tandi ada laluan sempit yang mana jalan digunakan untuk kenderaan dua hala. Ada juga runtuhan batu-batu dari atas gunung. Perjalanan terpaksa dihentikan sementara menunggu pihak Border Road Organization membersihkan laluan kesan tanah dan runtuhan batu yang menghalang laluan.
Dalam perjalanan, motosikal pemandu pelancong kami rosak dan terpaksa dibaiki. Sementara menunggu motosikal dibaiki, kami berehat di satu-satunya kedai yang ada di kawasan pergunungan Chattru, Lembah Lahaul. Terdapat beberapa khemah digunakan rider berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan. Walaupun dikelilingi gunung-ganang, kawasan ini tetap disediakan tandas yang hanya ditutupi serta dilengkapi tandas duduk dan pam air. Kami selamat tiba di Tandi dan bermalam buat kali kedua di dalam khemah ala-ala hotel budget yang mewah. Cuaca agak sejuk di Tandi waktu malam. Dalam khemah tiada air panas cuma paip air yang sejuk seperti ais. Kalau perlukan air panas, boleh minta dari pihak pengurusan khemah.
Hari berikutnya, perjalanan diteruskan dari Tandi ke Sarchu sejauh 123km dengan melalui pergunungan dan jalan berliku. Dalam perjalanan, ada Tasek Suraj dan kami singgah untuk berehat sebelum ke Sarchu dan berjumpa beberapa pelancong dari luar negara yang berbasikal di sini. Perjalanan diteruskan dan kami melintasi sungai yang agak panjang serta dipenuhi batu-batu besar dan agak mencabar. Para peserta selamat melintasi sungai dan tiba di Sarchu. Di Sarchu, kami bermalam di khemah mewah sekali lagi. Sewaktu tiba di sini, ada sekumpulan rider lelaki dan wanita. Saya sempat berkenalan dengan 2 rider wanita dari Itali dan 2 rider wanita dari India. Mereka memulakan perjalanan dari Manali ke Leh dan akan pulang semula ke Manali. Di khemah Sarchu, saya meminta izin dari pihak pengurusan untuk menggunakan dapur dan masak mee segera Maggie. Cuaca di sini sejuk dan oksigen pula agak nipis di kawasan sekitar yang terletak lebih kurang 4700 meter dari dasar laut.
Perjalanan dari Sarchu ke Leh agak jauh, lebih kurang 251km dan keadaan perjalanan yang sama, melalui lereng gunung yang berliku-liku dan gaung yang curam ke bawah serta melintasi sungai dipenuhi batu dari runtuhan gunung Himalaya. Konvoi Riding High Himalaya berhenti berehat untuk makan tengah hari sebelum selamat tiba di Leh lebih kurang pukul 4.00ptg. Kami bermalam selama 2 malam untuk berehat dan santai di pekan Leh, sebelum memulakan perjalanan ke Pangsong Tso, Khardung La dan Sangam. Keesokan harinya, ride lebih santai menuju ke Sangam dari Leh, sejauh lebih kurang 35km. Sangam merupakan lokasi di mana 2 sungai bertemu 1 sungai. Dalam perjalanan balik ke Leh, kami singgah di muzium tentera Leh tapi kurang bernasib baik kerana ditutup sempena Hari Kemerdekan dan kembali ke hotel untuk acara santai bebas.
Seawal jam 7.00 pagi, kami bergerak dari Leh menuju ke Pangong Tso, tasik terbesar di jajahan Himalaya. Perjalanan agak jauh dan mencabar, jalan raya dipenuhi batu-batu. Saya dimaklumkan oleh kumpulan lain, beberapa rider yang jatuh dalam perjalanan ke Pangsong Tso. Di sini, kami bermalam di khemah tetapi disediakan pemanas selama 3 jam, selepas pukul 10.00 malam. Waktu malam di Pangong Tso lebih sejuk berbanding tempat lain. Di sini, kami bertemu beberapa pendaki gunung Switzerland yang bermalam di tapak perkhemahan yang sama dan salah seorang dari mereka adalah seorang rider wanita. Keesokannya, kami siap bergerak awal pagi kerana tidak mahu tersangkut dalam kesesakan seperti hari kelmarin. Lebih 33 buah kenderaan askar India melalui lereng gunung dengan laluan yang ada kalanya terlalu sempit. Pangsong Tso merupakan sempadan India dan China di mana terletaknya kem tentera. Setiap hari, kenderaan askar menggunakan laluan sama yang digunakan kenderaan awam. Kami tiba di Leh dan bermalam satu malam lagi.
Kami bergerak seawal 7.00 pagi ke Khardung La sejauh lebih kurang 126km. Khardung La adalah puncak paling tinggi di dunia dengan ketinggian 18380 kaki dan laluan ini digunakan oleh semua kenderaan beroda. Kebetulan hari itu merupakan cuti umum, sepanjang perjalanan di kedua-dua hala dipenuhi kenderaan 6 roda, 4 roda dan 2 roda yang menuju dan turun dari Khardung La. Perjalanan sepanjang lebih kurang 65km dipenuhi laluan mencabar dengan tanah runtuh dan jalan tutup. Sudah lama saya tidak menunggang dalam keadaan off road yang begitu mencabar, di mana laluannya hanya untuk satu kenderaan dan di bawah pula gaung amat curam. Saya menunggang sambil berdoa sehingga saya dan rakan-rakan selamat sampai di puncak Khardung La. Sebaik tiba di puncak Khardung La 18380’, keadaan menjadi terlalu sesak kerana banyak kenderaan 2 roda dan 4 roda. Selesai bergambar di tempat bersejarah, kami bergerak pulang ke Leh dan cabaran sama diulang sekali lagi yang menguji minda dan ketahanan fizikal. Namun sikap pemandu yang penyabar dan memberi kerjasama memberi peluang kepada salah satu hala, membantu dan memudahkan perjalanan. Kesabaran, kerjasama dan bertolak ansur memainkan peranan penting dalam perjalanan mencabar di Himalaya.
Keseluruhan perjalanan Himalaya selama 2 minggu agak mencabar bagi diri kNor atau Tok Mama, seorang wanita berusia 57. Pengembaraan ini menguji mental dan fizikal saya dan paling mencabar, melalui jalan-jalan kecil dan gaung curam di bawah. Bukan itu sahaja, dari segi pemakanan dan oksigen yang nipis turut menguji ketahanan mental dan fizikal. Sepanjang di Himalaya, saya mengambil makan ubat untuk tambah oksigen sebanyak 2 kali. Sebiji dimakan sebelum bergerak ke Sarahan dan sebiji lagi sebelum bergerak ke Pangong Tso. Dalam perjalanan di jajahan Himalaya, saya sentiasa membawa air mineral. Sekiranya terpaksa berhenti untuk buang air, kami akan membuang air di celah-celah timbunan batu di tepi jalan. Jika diberi kesempatan sekali lagi, biarpun terlalu gayat bila ketika berada di atas gaung yang curam dan runtuhan batu-batu gunung, ia tidak mematahkan semangat saya untuk ride di Himalaya lagi. Alhamdulillah, syukur kerana perjalanan kami selama 14 hari selamat tanpa masalah besar kecuali motosikal pemandu pelancong yang perlu dibaiki.
Hari terakhir di Leh, kami bersarapan dan bergerak menuju lapangan terbang Leh dan berangkat ke New Delhi dan tiba dengan selamat. Sementara menunggu penerbangan masing-masing, kami dibawa melawat beberapa tempat di pusat bandar New Delhi termasuk Royal Enfield New Delhi. Lebih kurang pukul 10.30 malam, 3 rider dari England menaiki pesawat dan berlepas ke England dan sekitar 11.00 malam, kami menaiki pesawat MAS untuk pulang ke Malaysia dan tiba dengan selamat. ~kNor~
* Sekiranya anda merancang untuk mengembara di jajahan Himalaya atau di mana-mana destinasi lain atau berbasikal sama ada di dalam atau luar negara, hubungi Bikers Choice di info@bikerschoice.my.