Kedegilan segelintir rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini tanpa menghiraukan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown. Terbaharu, seramai 14 lelaki telah ditahan polis pada hari Rabu setelah berkumpul beramai-ramai untuk menguji bunyi ekzos motosikal masing-masing.
Kesemua lelaki yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun ditahan dan terpaksa menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer (km) dari Kampung Mak Chili ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di Chukai.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, 14 lelaki tersebut minta menolak motosikal masing-masing sebagai pengajaran kerana berkumpul sambil memulas minyak motosikal untuk menunjukkan kehebatan bunyi ekzos motosikal masing-masing walaupun dalam tempoh PKP.
Mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kemaman di Jalan Ibok dan Paman dalam tempoh tiga jam bermula jam 4 petang.
“Sebelum itu, kita ada terima laporan mengatakan terdapat remaja suka berkumpul sambil memulas minyak motosikal hingga menganggu ketenteraman orang awam. Jadi kita pergi dan memang benar ada aktiviti itu di sana.
“Menyedari kehadiran polis, semua lelaki yang sedang berkumpul cuba melarikan diri ke dalam semak dan kebun berhampiran dengan meninggalkan motosikal masing-masing namun berjaya ditahan,” katanya pada Khamis.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 14 motosikal disita kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk bunyi ekzos bising dan pengubahsuaian struktur sebelum pemiliknya diarah menolak motosikal masing-masing ke IPD Kemaman.
Dalam operasi sama polis turut memeriksa 60 kenderaan dan mengeluarkan 52 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan tidak mempunyai insurans.
Sumber : Harian Metro










