Peminat lumba motosikal tentu masih mengingati bekas juara dunia 500cc, Wayne Gardner. Kini, giliran anaknya Remy Gardner pula untuk mencipta nama dalam sukan lumba motor. Terbaharu, pelumba yang berusia 23 tahun dari Australia itu telah dinaikkan pangkat ke perlumbaan kelas perdana MotoGP untuk musim depan bersama pasukan Tech3 KTM.
Buat masa ini, Remy sedang mendahului kejuaraan Moto2 dengan memperoleh memperolehi lima podium daripada enam perlumbaan termasuk kejayaan yang dikecapinya baru-baru ini di Grand Prix Itali.
Menurut Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer berkata, Gardner menunjukkan potensi cemerlang sepanjang tahun ini. Pihaknya percaya pelumba muda ini masih belum menonjolkan prestasi yang sebenar dan peluang ini mampu membantu Remy memperkembangkan bakat dan kerjayanya.
Dengan kemasukan Remy ke perlumbaan kelas perdana MotoGP, ini bermakna salah seorang dari pelumba sedia ada iaitu pelumba Itali, Danilo Petrucci atau pelumba Sepanyol, Iker Lecuona bakal meninggalkan pasukan tersebut pada musim hadapan.
Sumber : Harian Metro