Tun Shahir, si Adiwira “Goldwing” Malaysia
Beliau bukan lagi asing khususnya kepada mereka yang bergiat secara langsung dalam dunia permotoran. Umpama aur dan tebing, isi dan kuku, motor berkuasa besar Honda Goldwing seakan-akan pengganti kelibat Tun Shahir hampir ke mana-mana sahaja beliau berada. Bak merpati dua sejoli, Goldwing dan Tun Shahir memang tidak dapat dipisahkan. Dek kerana itu juga, beliau lebih dikenali dan menonjol sebagai pelagak aksi ngeri Goldwing di Malaysia ini.
Sebelum sesi temubual ini direncanakan, saya pernah berjumpa sekali dengan Tun Shahir atau nama sebenarnya, Tun Muhammad Shahir Tun Shariman. Itu pun bukan atas urusan rasmi. Hanya berbual-bual kosong bersama beberapa yang lain. Dari pengamatan mata kasar, beliau seorang yang tidak lokek berkongsi kisah. Lebih penting, beliau sangat ringkas dan santai. Tidak seperti kebanyakkan orang yang dilahirkan dikalangan kerabat, Tun Shahir ramah dan merendah diri. Sesuai benar dengan pepatah, resmi padi semakin berisi semakin menunduk.
Kebetulan ketika sesi temubual diadakan, ruang pejabat agak serabut gara-gara sibuk dengan persiapan untuk Roadstar Mega Gathering yang diadakan di Putrajaya. Kehadiran beliau di petang itu pun disahkan disaat-saat akhir. Mujur semua soalan sudah lama disediakan dan seperti yang dijangkakan, Tun Shahir menyapa dengan senyuman dan menjawab soalan dengan cukup ramah. Maka, bermulalah satu sesi yang padat dengan informasi dikongsi jejaka muda berjiwa kental ini.
Dalam kesibukan kerja dan memenuhi undangan yang memerlukan aksi-aksi beraninya, Tun Shahir tetap meluangkan sedikit masa untuk bersama Roadstar dan semestinya para peminat beliau di luar sana. Justeru itu, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam menyelusuri semula perjalanan dan pengalaman beliau sepanjang bergelar pelagak ngeri profesional.
Bagaimana boleh timbul minat Tun untuk menceburkan diri dalam bidang aksi lagak ngeri ini dan bagaimana ia bermula?
Sejak kecil lagi saya dah mula berminat dalam dunia permotoran kerana seringkali melihat ayah dan rakan menunggang motosikal berkuasa besar. Saya berharap untuk memiliki motor serupa kerana kehebatannya. Akhirnya, harapan saya termakbul apabila Honda Goldwing GL1500 berjaya dimiliki. Ketika itu, saya masih kekok untuk mengendalikan motor besar ini. Ada beberapa ketika saya terlepas simpang kerana kurang yakin, takut-takut terjatuh.
Jadi, untuk memberikan keyakinan diri sendiri menunggang motor Goldwing ini, saya sentiasa berlatih di kawasan rumah dan menunggang di waktu malam di mana kurang kenderaan. Lama-kelamaan, naik seronok dan saya mula mencuba menunggang dengan macam-macam cara. Sehinggalah sekarang, tak pernah berhenti berlatih dan sentiasa cuba cara-cara baru untuk mencabar diri sendiri. Saya juga pernah menyertai kursus marshall sekali dan berjaya.
Boleh ceritakan permulaan Tun sebagai pelagak aksi ngeri sehingga hari ini termasuklah pasukan-pasukan yang pernah disertai?
Saya mula aktif seawal usia 19 tahun dan ketika itu, banyak melihat persembahan polis trafik yang membuat aksi menggunakan motor-motor besar. Dalam masa sama, saya menyertai persatuan pemilik Goldwing. Walaupun tidak lama, tetapi tetap memberikan pengalaman kerana pasti ada sahaja aktiviti dilakukan termasuklah program-program amal. Selain itu, ada juga beberapa lagi persatuan lain tetapi tidak lama kerana lebih selesa bergerak sendiri. Bukan sukar untuk bergaul tetapi memandangkan motor saya miliki adalah Honda, ada kejanggalan di antara ahli-ahli lain. Disebabkan itu, saya lebih gemar bergerak sendiri. Sekiranya dijemput untuk menyertai mana-mana program saya tidak menolak seperti jemputan-jemputan yang masih diterima dari PDRM.
Apakah reaksi keluarga dan orang terdekat setelah mengetahui minat Tun dalam aksi lagak ngeri ini?
Saya tidak pernah memberitahu keluarga tentang penglibatan ini tetapi mereka mengetahui menerusi siaran akhbar Harian Metro. Sebagaimana ibu bapa lain, ayah dan keluarga saya juga tidak menggalakan penglibatan ini kerana berbahaya. Apabila semakin banyak liputan dari media, lama-kelamaan mereka menerima dan memberikan galakan. Diawalnya saya sering mengikuti persembahan demo PDRM, dipanggil ekoran penyertaan kursus marshall. Semenjak dari hari itu, saya kerap dipanggil untuk turut memeriahkan aktiviti anjuran PDRM.
Bagaimanakah cara atau dari sumber manakah Tun gunakan sebagai bahan rujukan untuk mempelbagaikan teknik dan aksi-aksi baru?
Ada kalanya, teknik-teknik baru datang dari cetusan idea untuk mempelbagaikan persembahan dan juga mencabar diri sendiri. Selain itu, saya juga menyertai forum-forum di internet dan berkongsi bersama rakan-rakan bikers dari luar negara seperti dari Amerika dan juga negara-negara Eropah. Menerusi forum ini, mereka selalu berkongsi teknik-teknik dan menggalakan ahli-ahli lain menggunakannya. Malah mereka juga sentiasa memberi galakan dan sokongan sesama sendiri.
Di acara manakah Tun muncul buat pertama kali dan membuat persembahan di depan khalayak ramai? Bagaimana penerimaan dan respon yang diberikan para penonton ketika itu dan apakah perasaan Tun ketika itu?
Persembahan pertama saya di Temerloh pada tahun 2002 sempena majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Disebabkan ianya persembahan amal dan di rumah anak-anak yatim, pengunjung yang hadir pun tidak ramai. Jadi, sambutan pun biasa-biasa sahaja. Maklumlah, bulan puasa dan yang datang pun tentu lebih memikirkan tentang berbuka dan kurang memberikan tumpuan kepada persembahan.
Selain pernah muncul dalam program TV, pernahkah Tun terlibat secara serius atau menerima tawaran untuk menyertai mana-mana filem?
Kalau ada tawaran, saya terima. Setakat hari ini, belum lagi. Kebiasaannya, Tun dilihat melakukan aksi lagak ngeri menggunakan GL 1500 ini dan ianya jarang di Malaysia. Kenapa Tun memilih motor ini dan bukannya superbike?
Stunter superbike terlalu banyak dan sudah tidak ada keunikan tetapi Goldwing ini jarang dan itulah keunikan menggunakan motor ini. Mengendalikan motor besar ini memerlukan teknik dan ada masanya, penonton yang melihat persembahan menjangkakan saya akan jatuh ketika membuat persembahan. Apabila berjaya melakukan persembahan tanpa jatuh, itu yang membuatkan penonton terhibur.
Apakah kesukaran yang dialami dalam melakukan aksi ngeri dengan motor seperti GL 1500 ini? Bagaimana pula cara pengendaliannya?
Awalnya memang sukar, terutamanya apabila mengambil selekoh tetapi apabila sudah terbiasa, tidak ada masalah. Cuma perlu mempelbagaikan lagi aksi-aksi yang boleh membuatkan orang dan diri sendiri terhibur. Seperti dikatakan awal tadi, aksi-aksi yang tercetus sendiri dan menyeronokan untuk dilakukan. Melakukan aksi ngeri dengan motor kuasa besar, memerlukan pengorbanan yang besar juga. Berkorban nyawa, duit dan tentunya masa. Barang-barang ganti pula bukanlah murah. Kalau mahu serius, perlu berkorbanlah sikit.
Lumrah manusia, apabila ada yang menyokong pasti ada juga yang memberikan komen-komen negatif. Bagaimana Tun menerima reaksi dari penonton secara amnya?
Kalau ada yang beri komen negatif, biarkan sahaja. Terima semua komen tidak kiralah positif atau negatif dengan terbuka kerana apa yang penting adalah keseronokan sendiri. Ada kalanya, keegoan manusia yang membuatkan mereka melontarkan kata-kata negatif kerana ada antaranya yang teringin untuk melakukan perkara sama tetapi tidak berpeluang. Jangan dilayan sangat kerana jika dilayan, perkara tidak akan habis dan berterusan.
Bidang aksi lagak ngeri ini mungkin baru di kalangan umum tetapi bukan untuk bikers, apakah harapan Tun untuk bidang ini di Malaysia?
Bidang ini memerlukan kos yang tinggi dan melibatkan sejumlah duit. Malaysia sudah ada stunter tetapi masih belum di tahap ekstrem. Motor ini semua orang boleh guna tetapi kalau betul-betul berminat dan ingin terlibat secara serius, perlu berkorban demi menjadi stunter yang berjaya.
Kata-kata atau pesanan untuk para pembaca Roadstar khususnya peminat Tun?
Teruskan sokongan anda dan ikuti perkembangan saya di Facebook; Tun Shahir dan jika berminat untuk melihat saya dan Goldwing beraksi, boleh hubungi 012 – 331 3554.