KLX 250 Iconic Icon
Kaedah pengubahsuaian motosikal memang telah jauh berubah semenjak dekad yang lalu. Walaupun motosikal itu sendiri tidak banyak berubah dari segi rupabentuk, namun cara peminat jentera 2 roda ini menterjemahkan nilai pengubahsuaian telah melalui transformasi yang besar. Dari zaman karburetor kepada suntikan bahanapi, analog kepada digital dan kini hiasan-hiasan pelekat gaya bebas bukanlah sesuatu yang asing.
Kawasaki KLX bukanlah nama asing dalam dunia dirt bike. Ia tidak lahir dari kancah perlumbaan tapi ia memang dibuat untuk pasaran yang tidak wujud satu ketika dahulu. Kawasaki mendahului mana-mana pengeluar motosikal dirt dan seperti yang diketahui siri K.
Seingat saya ketika masih di bangku sekolah, motosikal seperti KLE dan KLR dengan pelbagai variasi enjin telah pun mula digunakan. Ini termasuklah sebuah model sekecil KX60 (60cc dirtbike) yang berjaya kawan saya ‘seludup’ dalam kontena yang menempatkan barangnya sewaktu habis menuntut di sebuah universiti di Jepun. Anda tahu KSR? Model KX ni sedikit besar dari model KSR moden.
Motosikal jenis ini digemari kerana binaannya yang lasak. Maklumlah, ia sebuah jentera yang lahir untuk menjelajah belukar. Setiap bahagian motosikal dibina untuk bertahan dalam situasi ekstrem dan kalau anda menonton sukan ekstrem motosikal, nama Kawasaki pasti jadi sebahagian dari fenomena acara.
Menggunakan motosikal dirt di jalanraya biasa pula bukanlah idea yang bagus. Tayar dari kilang dibuat untuk menjejak jalan berlumpur dan bukannya aspal. Namun idea yang kebanyakan orang fikir ialah kerangka dan enjin yang lasak. Justeru lahirlah satu hobi baru mengubahsuai dirtbike kepada supermoto/supermotard.
Langkah awal yang biasa dibuat ialah menggantikan roda jejari lidi kepada jenis aloi. Tapi motosikal yang dipaparkan ini lebih gemar berkonsepkan supermoto. Rim lidi asal yang kurang lebar digantikan dengan rim Excel Takasago berukuran 17 x 3 inci di depan dan 17 x 4 inci di belakang. Ia diberi sentuhan warna hitam dan dilapis pelekat bertemakan Icon. Jenama ini tidak sepopular Alpinestar tetapi ia dari Amerika yang kini berkembang pesat.
Icon menghasilkan banyak aksesori dan kelengkapan tunggangan motosikal. Pemilik KLX ini mendapat idea setelah menonton sebuah dokumentari perlumbaan. Dengan kerjasama syarikat rekabentuk EDT-GFX yang terletak di Puncak Jalil, minat itu dapat direalisasikan. Langkah seterusnya yang dibuat ialah menggantikan tayar dirt kepada tayar kegunaan jalanraya. Jenamanya tak mahu kalah, Pirelli Supercorsa.
Enjin mendapat pengubahsuaian ringan dengan pemasangan hos silikon buatan DRS, pemasangan ekzos lengkap Powercore 4 dari PMF dan penapis udara berprestasi tinggi K&N. Ia membantu sedikit sebanyak dalam menyegarkan penafasan enjin lantas memberikan sedikit kuasa. Apa yang sebenarnya mendorong pemiliknya membeli motosikal ini adalah untuk menghasilkan sebuah nilai estetik melebihi aspek kuasa.
Mudguard hadapan ditukar kepada jenis Zeta. Rekabentuknya lebih sporty dari set asal yang membosankan, melengkung begitu saja. Fender depan pula dipasangkan dengan pad Supermoto UFO dan bar hendal ditukar kepada Renthal yang lebih lebar. Renthal memang antara pengeluar perkakasan motosikal offroad yang popular.
Tema Icon boleh dilihat dengan jelas mempengaruhi sebahagian besar modifikasi estetik motosikal ini. Dengan penggunaan skema warna yang betul, corak yang diselangselikan dengan latarbelakang grafik bebas menjadikan hasil akhirnya kemas dan menarik. Dan memang penggunaan Icon ini saya kira sesuai kerana tanda warna korporat Kawasaki memang hampir sama dengan warna hijau korporat Icon.