Dua tahun, satu tempoh yang agak panjang khususnya untuk persada dunia lumba sukan. Peluang ini wajar digunakan sehabis baik bagi memeriahkan semula sukan permotoran. Selepas Kejuaraan Cub Prix, satu lagi sukan lumba motor bakal diadakan. FIM Asia Road Racing 2022 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand.
Peluang ini turut dinanti-nantikan juara ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman yang melakar kemenangan bersejarah untuk musim 2019 yang lalu. Pelumba yang mewakili pasukan ONEXOX BMW TKKR sempat berseloroh dengan mengatakan, secara tidak rasminya beliau merupakan juara bertahan ASB1000 untuk tahun 2019, 2020 dan 2021.
Sebagaimana yang diketahui, pandemik covid-19 melumpuhkan segala kegiatan dan ianya sangat membimbangkan. Namun, Azlan bersyukur melihat kesungguhan industri sukan permotoran Asia yang bekerja keras untuk kembali beraksi seperti sediakala.
Menurut Azlan, beliau ada mencuba menjadi komentar profesional semasa tiada penganjuran sukan lumba motor. Bagaimanapun, beliau tetap mengutamakan sukan permotoran memandangkan ia cinta pertamanya. Beliau juga menubuhkan AS25 Racing Academy untuk membantu pelumba-pelumba muda untuk maju dalam sukan lumba motor ini yang telah menyertai perlumbaan pertama di PETRONAS Malaysian Cub Prix Championship beberapa minggu lepas.
Selamat kembali Azlan, semoga memberikan aksi yang mendebarkan dan mengekalkan kejuaraan di Buriram!