Salah satu acara permotoran terbesar di Borneo, Sibu Bike Week menggegarkan Dataran Sibu. Dianjurkan oleh Razz Chopper dengan hanya berbekalkan dana sebanyak RM20k, Sibu Bike Week tetap menerima sambutan memberansangkan dari para pencinta dan penggiat dunia permotoran. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sekali gus memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk mempamerkan kehebatan masing-masing.
Antara aktiviti yang disediakan untuk Sibu Bike Week kali ini termasuklah drift, pertandingan Skateboard, burn tayar, ekzos terbising, pertandingan Ratu Cantik Sibu Bike Week, pereka cipta tatu terbaik dan Battle Of The Band. Tapak acara dihangatkan lagi dengan persembahan artis dari Bandi Amok yang cukup bertenaga serta memukau para pengunjung dengan mendendangkan sebanyak 11 buah lagu. Malah, para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama-sama di sepanjang persembahan berlangsung.
Walaupun terpaksa mengeluarkan dana sendiri demi memastikan penganjuran Sibu Bike Week berjalan lancar, Razz Chopper nekad menyahut cabaran saban tahun untuk menganjurkan acara ini tanpa menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak. Namun, kerjasama dari JPJ Sibu, Council Sibu dan PDRM sangat membantu dan terbaik dalam memastikan kelancaran Sibu Bike Week kali ini. Bukan sahaja sekadar menyediakan ruang untuk para pencinta dan penggiat dua roda berhimpun, acara ini turut membantu menjana ekonomi peniaga tempatan termasuklah hotel dan lain-lain.
Dianggarkan hampir 30 ribu bikers dan pengunjung telah membanjiri Dataran Sibu untuk menyaksikan serta menjadi sebahagian kemeriahan Sibuk Bike Week ini. Para pengunjung dan peserta yang meluangkan masa menghadiri acara ini pula bukan sahaja terdiri dari penduduk sekitar atau berhampiran, malah ada yang datang dari semenanjung dan juga negara jiran, Filipina. Demi kebaikan penganjuran Sibu Bike Week di masa hadapan, diharapkan ada pihak yang sudi memberi sokongan dan bantuan, khususnya dari pihak berwajib sekali gus meletakkan ia sebagai salah satu acara rasmi di Sibu.