Slogan “Gegor Manjung” sangat tepat bagi menggambarkan suasana yang melanda daerah Manjung selama 3 hari sempena Manjung Bike Week 2016 yang diadakan selama tiga hari. Dahulunya bandar Lumut digegarkan bunyi serombong kapal-kapal TLDM dan kini, penduduk tempatan digegarkan pula dengan bunyi ekzos dari pelbagai jenis motosikal apabila menjadi lokasi berkumpulnya bikers-bikers tanpa mengira pengkelasan motosikal. Diadakan setiap 3 tahun, ia merupakan cetusan idea dan sumbangan tenaga warga kelab Manjung Bikers. Biarpun pemimpin dan ahli-ahlinya silih berganti, acara ini tetap berjalan seperti yang dijadualkan.
Perancangan bermula awal dengan komitmen bersepadu dari 53 orang ahli kelab Manjung Bikers akhirnya membuahkan hasil. Berjalan dengan cukup lancar sehingga mendapat kepujian dari pengusaha gerai makanan, pengusaha hotel serta pengusaha bot yang sering berulang-alik membawa pelancong ke Pulau Pangkor. Diusahakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Tanah dan daerah Manjung, PDRM, JPJ, RELA dan Pejabat Kesihatan Manjung, acara berprestij ini juga dapat menjana ekonomi peniaga tempatan. Walaupun diadakan di kawasan dengan keluasan terhad, namun kemeriahannya tetap dirasakan dengan kehadiran bikers dari luar termasuklah Singapura, Thailand dan Malaysia sendiri.
Hubungan mesra antara penganjur dan beberapa pengusaha tempatan sekali gus memberikan sumbangan untuk penajaan Manjung Bike Week 2016. Antaranya seperti OSE EDLY Enterprise, Dzikry Techonologies Sdn Bhd. Kyzamech Enterprise, Lee cycle. PSTHAM, Tarmizi Hasil Laut, Jamilah Hasil Laut, Nasir Garage, Pokya Nasi Kukus, Mega Fortune, GL Cycle, Jalinan Qaseh, Zam Nasi Kukus Bikers, Top Spin, Syarikat MISB, Wing motor Grup Society, Sykt Budi Antara Sdn Bhd, Amin Arwana, Chun Fatt Motor, Sykt Kamachi Amman, Sendayan Motor, Restoran Ayam Penyek, Watali dan Suresh Motor.
Hampir 7 ribu pengunjung telah hadir, satu sambutan di luar jangkaan bagi acara yang diadakan setiap 3 tahun ini dan menandakan ia merupakan acara yang paling ditunggu-tunggu. Kehadiran bikers juga cukup membanggakan, terutamanya mereka yang datang dari Singapura dan Thailand yang lebih dari 200 orang. Menurut presiden Manjung Bikers, beliau berpuas hati dengan rangka promosi jelajah jemputan yang dijalankan sebulan sebelum acara ini diadakan; “Kami menjelajah hampir ke seluruh pelusuk semenanjung tanpa mengira di mana, kecil atau besar acara permotoran yang diadakan oleh rakan-rakan dari negeri lain.” Selain itu, beliau turut menyeru agar para penganjur mewujudkan satu persefahaman agar tidak menimbulkan sebarang pertindihan tarikh untuk acara-acara permotoran yang bakal diadakan di masa akan datang.