Gegak gempita bunyi ekzos, diwarnakan pula dengan bermacam rekaan dan corak jentera dua roda serta barisan-barisan motor pelbagai jenama tanpa mengira saiz kecil mahupun besar. Begitulah keadaan yang dapat disaksikan sepanjang berlangsungnya Samarahan Bike Fest kali ke-5. Berlangsung selama 3 hari, Bike Fest ini antara acara permotoran yang dinanti-nantikan para pencinta dunia roda di sekitar Borneo ini. Perancangan diadakan selama 5 bulan bagi merealisasikan acara yang berkapasiti besar dan agak mencabar ini merupakan penganjuran Tegar Bikers dengan kerjasama dan bantuan dari LC Crew Sarawak.
Menurut ketua Komiti, saudara En. Afiq Fikri Ibrahim, Samarahan Bike Fest diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2008 dan merupakan cetusan minat serta dasar Brotherhood bagi menghimpunkan bikers seluruh Borneo. Diadakan kali terakhir pada tahun 2014 lalu, penganjuran kali ke-5 ini menyaksikan kehadiran para pengunjung yang cukup luar biasa dan melepasi sasaran sekali gus mendorong pihak penganjur untuk menyusun aturcara yang lebih meriah di masa akan datang.
Seramai 838 peminat motosikal dari Sarawak mahupun Sabah dan juga jiran serumpun dari Brunei dan Indonesia telah mendaftar untuk menyertai acara ini. Lebih meriah lagi apabila kehadiran Awie yang telah diviralkan terlebih dahulu menjadi salah satu tarikan utama kebanjiran pengunjung ke Samarahan Bike Fest. Walaupun kelihatan ringkas ekoran infrastruktur yang masih dalam proses pembinaan, Aiman Mall tetap menjadi destinasi pilihan kerana tujuan asalnya untuk mempromosikan kompleks beli belah ini.
Masalah ini tidak menghalang para vendor dan meneruskan jualan seperti biasa. Aktiviti-aktiviti sampingan turut dijalankan bagi memenuhi pengisian acara antaranya termasuklah Gymkhana atau Attack Time, Drift, Auto Show, Battle Of The Band, Pertandingan Ratu cantik dan Pertandingan Bina Badan Antara bikers. Kunjungan hampir 40,000 peminat dunia dua roda serta penduduk tempatan ke Samarahan Bike Fest merupakan satu tiupan semangat kepada penganjur.