Perkembangan pelbagai sektor ekonomi masih bergerak perlahan di tengah-tengah musim pandemik yang masih belum menunjukkan sebarang penurunan. Namun begitu, ia bukan menjadi satu alasan bagi WMoto yang semakin aktif memberi saingan secara progresif di pasaran motosikal negara. Terkini, WMoto telah melancarkan WMoto Xtreme 150i iaitu model skuter keluarannya yang terbaharu.
Walaupun negara masih lagi melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN), MForce yang beroperasi di Pulau Pinang, telah mengambil langkah yang agresif untuk mengaktifkan semula pasaran motosikal yang kini begitu pasif dan juga ianya akan memberi pilihan kepada bakal pengguna sebaik sahaja penjualan motosikal dibenarkan kelak.
Bagi makluman, WMoto Xtreme 150i turut diberi penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP). Ia turut mengiktiraf WMoto Xtreme 150i sebagai motosikal paling selamat yang dilengkapi dengan sistem brek yang efisyen iaitu Anti-Lock Braking System (ABS).
Pengiktirafan ini dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Menurut MIROS, penarafan bintang MyMap ini ialah hasil penilaian empat ciri-ciri utama iaitu pematuhan kepada peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah, Pematuhan Pengeluaran (COP), Teknologi ciri keselamatan dan program sokongan keselamatan pengguna.
WMoto Xtreme 150i ini mematuhi piawaian emisi Euro 4, dikuasakan dengan enjin silinder tunggal, 4 lejang dan SOHC serta sistem penyejuk cecair. Dengan sesaran enjin 149.3 cc, skuter ini dapat menghasilkan kuasa maksimum 12.1Hp pada 8,500rpm dan tork maksimum 11.8Nm pada 5,000rpm. Skuter keluaran Mforce ini memilik reka bentuk yang lasak dan daya tahan yang tinggi bersesuaian dengan konsep “EXTREME”. Melengkapkan lagi konsep skuter ini, semua lampu pada WMoto Xtreme 150i adalah jenis LED dan lampu utama dipadankan bersama lampu siang (DRL) berbentuk teknikal dan terkini. Skuter seberat 143kg ini turut menyediakan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.
Menurut Encik Omar Yani, Pengurus Perancangan dan Pembangunan Produk, dengan tangki yang besar, ia mampu menggerakkan jentera ini sejauh lebih kurang 400km dalam semua keadaan jalan dan cara penunggangan. WMoto Xtreme 150i turut dilengkapi ciri mula-henti (start-stop) untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api dan meminimumkan pelepasan “emission” terutamanya semasa berhenti di lampu isyarat atau dalam kesesakan jalan raya.
Pada bahagian roda, kedua-duanya menggunakan brek cakera tunggal yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) di depan dan belakang. Sistem suspensi hadapan adalah jenis “Up Side Down” atau fork terbalik dan monoshock boleh laras di bahagian belakang. Monoshock yang dipasangkan secara condong ini membantu serapan hentakan lebih baik dan keselesaan. Kelegaan tanah adalah 180mm, untuk penunggangan lasak semasa dilaluan tidak rata dan berbukit.
Dengan dimensi panjang 1,925mm, lebar 760mm dan tinggi 1,290mm serta jarak roda 1,320mm, skuter WMoto Xtreme 150i ini begitu selesa untuk ditunggang dan mencapai kestabilan. Skuter ini turut menggunakan paparan panel meter LCD digital penuh yang memaparkan maklumat tunggangan lengkap.
Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah cukup luas dan turut disediakan, dua port pengecas iaitu USB dan soket berkuasa 12V. Visor angin boleh laras ditambah pada skuter ini untuk tujuan kemudahan dan keselesaaan penunggang. Ia mudah dilaras dalam julat 5cm mengikut ketinggian dan kesesuaian penunggang tanpa memerlukan peralatan khas.
Skuter WMoto Xtreme 150i mempunyai dua pilihan warna iaitu Kelabu dan Merah. Skuter ini dijual pada harga jualan asas bermula RM 9,588.00 dan anda boleh mendapatkannya sebaik sahaja premis pengedar sah MForce dibenarkan beroperasi.
Dengan setiap pembelian WMoto Xtreme 150i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.