Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri skuter telah mengalami perkembangan dan pertumbuhan yang cukup baik. Pada awalnya, ia dikatakan sebagai kenderaan dua roda yang dibina untuk kegunaan di bandar. Kini, ia telah berkembang menjadi salah sebuah kenderaan yang digunakan bukan sahaja di bandar, malah di lebuhraya dengan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk penunggangan yang lebih selesa.
Oleh yang demikian, Honda telah melancarkan Forza 250 2021 di pasaran Indonesia untuk memenuhi keperluan para penunggang skuter yang mahu menunggang dengan lebih jauh. Ditawarkan pada harga RP83,810,00 (RM24,403), skuter maxi edaran PS Astra Honda Motor (AHM) ini dilengkapi dengan beberapa kemaskini terbaharu termasuk lampu LED di bahagian hadapan, belakang dan sisi.
Penampilan fascia hadapan yang baharu lebih agresif dan badannya lebih lebar. Skuter maxi ini turut didatangkan dengan windscreen boleh-laras elektronik yang boleh ditinggikan dan direndahkan. Honda Forza 250 ini boleh didapati dalam 4 warna; Candy Rosy Red, Pearl Horizon White, Indy Gray Metallic dan Matte Gunpowder Black Metallic.
Sumber : RideApart.com