MForce memperkenalkan model terbaharu WMOTO RT1 – skuter dalam segmen kecil ke pasaran tempatan dengan menampilkan pelbagai ciri-ciri menarik selain harga yang mampu milik di bawah RM10k. Pesaing kepada model-model tersohor seperti Yamaha NVX 155, Honda ADV 160, SYM Jet X atau pun Aveta VADV 150, WMOTO RT1 dijangka mampu untuk bersaing dengan elemen-elemen unik yang ditampilkan.
Menarik bagi model baharu keluaran MForce ini, ia merupakan skuter bersesaran 150cc pertama yang menawarkan Traction Control System (TCS) selain turut dilengkapi ciri-ciri premium. Antaranya sistem brek ABS dual-channel, alat perakam dashcam, sistem penghidup enjin jenis keyless entry, lampu depan dan belakang jenis LED, lampu kabus, panel meter TFT serta port pengecas USB.
Di bahagian enjin pula, RT1 dipadankan dengan enjin berkuasa 149.3cc silinder Tunggal, SOHC dengan suntikan bahan api elektronik yang mampu menghamburkan kuasa 15.4hp @ 8,000rpm dengan tork 14.5Nm @ 6,750rpm.
Menarik mengenai jentera skuter WMOTO ini, ia menawarkan sistem penyerap hentakan bahagian belakang jenis boleh laras, tangki bahan api dengan isipadu sebanyak 9liter dan tayar bersaiz 100/80-14 (roda depan) dan 120/70-14 (roda belakang).
WMOTO RT1 dengan penampilan bergaya didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Enchanting Blue, Mystique Black dan Dazzling Grey tampil dengan rekaan yang lebih ‘mengancam’ sambil tag harga yang cukup ‘rahmah’ iaitu RM9,888 (tidak termasuk perlindungan insuran dan cukai jalan).