Sebelum berlangsungnya perlumbaan MotoGP, dua pelumba dari pasukan Ducati iaitu Andrea Dovizioso and Danilo Petrucci telah bertemu dan beramah mesra bersama peminat yang diadakan di stesen minyak Shell KLIA. Tahun ini merupakan musim ke-12 untuk Dovizioso bersaing dalam MotoGP.
Pelumba yang berasal dari Itali ini menghabiskan musim lalu di tempat kedua untuk dua tahun berturut-turut. Manakala rakan senegaranya, Petrucci yang mempamerkan perkembangan cukup cemerlang selama empat tahun dibawah pasukan Pramac Racing telah menyertai pasukan Ducati tahun ini.
Bagi meraikan kehadiran kedua-dua pelumba ini, stesen Shell KLIA telah dihias cukup meriah dengan bertemakan Ducati. Para peminat yang berkesempatan datang memeriahkan lagi sesi ini mengambil peluang beramah mesra, bergambar kenangan dan mendapatkan autograf kedua-kedua pelumba MotoGP ini.
Di sebelah petang pula, Andrea Dovizioso bersama Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain menyampaikan anugerah kepada 10 mekanik yang mewakili Malysia di Shell Advance Global Masterclass Competition. Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti terkenal tanah air, Fattah Amin yang juga duta minyak motor Shell Advance.