Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah mengumumkan nama-nama pemenang bagi peraduan MODENAS Global Pulsar Mania yang telah dianjurkan sempena ulang tahun hari kemerdekaan yang ke-62. Pertandingan yang berlangsung dari 20 Mei sehingga 31 Ogos 2019 itu dibuka kepada semua pemilik baharu motosikal Modenas Pulsar NS200 dan RS200 yang telah didaftarkan dalam tempoh jangka peraduan.
Para peserta perlu memuat naik sekeping gambar yang paling kreatif bersama motosikal Modenas Pulsar baharu mereka ke laman rasmi ‘Facebook’ MODENAS bagi melayakan diri untuk memenangi pakej percutian untuk dua orang ke destinasi impian mereka. Pemenang diberi peluang memilih di antara 20 buah negara di mana model motosikal Pulsar telah berjaya menembusi seperti Argentina, Costa Rica, Peru, Poland, Turki dan banyak lagi. Hadiah kemenangan ini termasuk tiket penerbangan, penginapan, serta khidmat pemandu pelancong.
Tiga orang pemenang bulanan telah dipilih berdasarkan penyertaan mereka pada bulan Jun, Julai dan Ogos. Muhammad Azrulnizam Ridzuan, seorang Eksekutif Akaun berusia 24 tahun dari Selangor dinobatkan sebagai pemenang bulan Jun dan telah memilih negara Poland sebagai destinasi pilihannya.
Sementara itu, Kamaruzaman Yusof, seorang pegawai IT berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur, dipilih sebagai pemenang pada bulan Julai dan telah memilih Peru sebagai destinasi impiannya. Manakala, pemenang bagi bulan Ogos pula, Muhamad Zuhdi Farhan Suhaimi, seorang perunding berusia 27 tahun dari Kuala Lumpur telah memilih Turki sebagai destinasi beliau.