Pagi yang hening di perkarangan stesen minyak Petron R&R Rawang diserikan dengan deruman enjin pelbagai jentera berkuasa tinggi termasuk Kawasaki, Honda, Yamaha, BMW, Suzuki, Ducati, Modenas dan KTM. Namun kali ini, bukan sekadar konvoi biasa. Di sebalik kelajuan dan adrenalin, terdapat misi kemanusiaan yang menjadi nadi utama Charity Ride Vol. 1, anjuran LW Bikers Malaysia dengan kerjasama pelbagai kelab permotoran seluruh negara.

Disertai lebih 100 penunggang dari kelab-kelab seperti Piranha Medan Bikers, Super Frenz Bikers, KVOC, FTMC, ARBC, Rose Rider dan Geng Pelumba Malam. Konvoi amal ini menuju ke Pertubuhan Kebajikan Baitul Aini yang terletak di Ipoh. Ia merupakan sebuah rumah perlindungan anak yatim dan asnaf miskin yang memerlukan sokongan serta perhatian masyarakat. Perjalanan bermula seawal jam 8 pagi dengan kawalan rapi oleh marshal berpengalaman daripada Piranha Medan Bikerz, memastikan setiap peserta bergerak dengan disiplin dan selamat sepanjang laluan.
Slogan “Ride berkumpulan, bukan kroni” menjadi semangat utama yang mengikat semua peserta tanpa mengira kelab atau latar belakang. Melalui jalan berliku di Simpang Pulai, konvoi tersusun ini menjadi bukti bahawa semangat persaudaraan dalam dunia permotoran masih kukuh dan bermaruah. Setibanya di lokasi, suasana Baitul Aini bertukar meriah apabila anak-anak penghuni menyambut kedatangan para biker dengan senyuman dan kibaran bendera. Beberapa penaja turut hadir memberi sokongan, antaranya FKR, All America, dan D.I.D Malaysia.

Majlis disempurnakan oleh Tuan Faizal Roslan, Exco AMK Malaysia, yang turut menyampaikan ucapan perasmian serta menyuntik semangat kepada para peserta agar terus menjadikan aktiviti sebegini sebagai platform kebajikan berterusan. Presiden kelab turut memberikan amanat ringkas sebelum penyerahan sumbangan kewangan kepada pengasas Baitul Aini sebagai tanda sokongan kepada usaha murni mereka.
Bagi ramai peserta, perjalanan ini lebih daripada sekadar satu konvoi, Ia adalah peringatan tentang makna sebenar empati dan tanggungjawab sosial. Seorang peserta sempat berkongsi, “Bila tengok senyuman anak-anak ni, hilang semua penat. Rasa puas sebab dapat memberi sesuatu kembali kepada masyarakat.”

Charity Ride Vol. 1 bukan sekadar acara bermusim, tetapi titik mula kepada gerakan permotoran berjiwa rakyat. Program ini dijangka diteruskan sebagai edisi tahunan dengan perancangan untuk memperluaskan bantuan ke negeri-negeri lain. Seperti kata penganjur, Dawie, yang menutup majlis dengan pesanan bermakna, “Kami bukan sekadar menunggang motor, kami menunggang atas dasar kemanusiaan.”


























