Aveta Malaysia, salah satu jenama motosikal tempatan terkemuka, melancarkan Nova 160 Signature Edition (SE), versi dinaik taraf daripada model popular Nova 160. Model baharu ini kini dilengkapi dengan Dual Channel Anti-Lock Braking System (ABS) dan Traction Control System (TCS) bagi meningkatkan tahap keselamatan serta kestabilan tunggangan harian. Pelancaran ini juga sejajar dengan langkah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang akan mewajibkan sistem ABS bagi motosikal melebihi 150 cc mulai tahun 2025.


Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim, berkata pelancaran Nova 160 Signature Edition mencerminkan komitmen Aveta untuk memenuhi keperluan peraturan keselamatan baharu sambil menawarkan teknologi dan gaya pada harga mampu milik. “Kami bukan sekadar mematuhi piawaian keselamatan, tetapi ingin menjadikan keselamatan dan inovasi lebih mudah diakses oleh semua penunggang,” ujarnya.
Nova 160 SE mengekalkan prestasi enjin 160 cc yang telah terbukti berdaya tahan, disertai dengan peningkatan sistem keselamatan dan reka bentuk lebih sporty. Sistem Dual Channel ABS dan TCS memberi cengkaman lebih baik di permukaan jalan licin atau tidak rata, manakala rekaan grafik dan tiga pilihan warna baharu; Teal Green, Copper Blaze dan Dark Blue menjadikannya tampil lebih segar dan bergaya.
 
 
Model ini turut mengekalkan falsafah “mampu milik” Aveta, menawarkan gabungan keselamatan, prestasi dan nilai yang tinggi pada harga RM8,088 (harga pengenalan sah hingga Disember 2025), sebelum dijual pada harga tetap RM8,388. Harga tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Aveta di seluruh negara bermula minggu hadapan.
Steven menambah, “Nova 160 Signature Edition ialah hasil maklum balas daripada pengguna kami sendiri. Kami mendengar apa yang penting bagi penunggang Malaysia. Keselamatan, praktikaliti dan gaya, semuanya digabungkan dalam model ini.”
 
 
Selain versi Signature Edition, rangkaian produk Aveta turut merangkumi model premium lain seperti Advance Power 15W-50, Advance Long Ride 10W-40, dan siri AX7 Semi-Synthetic (10W-40, 15W-50), melengkapkan tawaran Aveta sebagai jenama yang mengutamakan keselamatan dan pengalaman tunggangan pintar untuk rakyat Malaysia.
 
 
















 
 