Benarlah kata orang, di sebalik kejayaan seorang suami adanya isteri yang berdiri teguh di belakangnya. Bukan sekadar di puncak karier atau kejayaan dalam perniagaan malah apa jua yang dikecapi sang suami, pasti ada seseorang di sebalik tabir yang membantu kejayaan tersebut.
Tidak kira individu itu seorang pasangan terkenal seperti selebriti atau ahli perniagaan yang berjaya, skrip yang serupa sering berulang kepada mana-mana pasangan suami isteri dalam membina sesebuah kejayaan. Namun setiap kali dinukilkan kejayaan tersebut, pasti ada cerita di sebaliknya. Begitu juga halnya bagi personaliti yang menghiasi Show Off kali ini. Dikenali dengan panggilan Z Bagan sahaja, usaha untuk menjadikan sebuah motosikal berlainan datang dari inspirasi isterinya.
“Sebenarnya banyak hasil yang ‘digubah’ merupakan idea gila-gila isteri saya. Dia juga bebas memilih rekaan dan konsep motosikal yang saya dirikan ini. Bermula dari pemilihan warna, bahagian kustom, aksesori tambahan dan pilihan motosikal itu sendiri merupakan pilihan dari dia (isteri).
“Terima kasih kepada isteri saya. Motosikal ini juga merupakan hadiah dari isteri pada tahun 2018 bersempena hari kelahiran saya. Terkejut juga apabila dia (isteri) beritahu telah memilih motosikal baharu bagi kegunaan harian saya walaupun sebelum ini, seperti pasangan lain kami akan meninjau terlebih dahulu pilihan jenama dan model yang menjadi kesukaan,” ujar pemilik nama sebenar Zul Irwan Shah Osman ketika mengimbau kembali detik-detik awal hobinya.
Menurut Z Bagan, kewujudan Benelli Hijau milik Zul Irwan Shah Osman, 43, dan isteri tercinta Noorrasshila Abdullah, 39, itu bagaikan terjemahan Impian pasangan berkenan. Mengimbas kembali detik-detik awal hobi pasangan suami isteri ini, segalanya bermula dari satu konvoi yang disertai oleh mereka. Dari konvoi, mereka turut menyaksikan pertandingan motosikal tercantik dan bermula dari situ, terdetik di hati untuk mengubah motosikal yang dibelinya itu menjadi ‘monster’ baru.
Bermula dari situ, mereka nekad untuk mencipta kesesuaian pada jentera ini. Namun rancangan itu terpaksa dilupakan seketika memandangkan kekangan yang menghimpit selain beberapa episod silam tanah air seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ditambah pula dengan faktor kewangan yang tidak mengizinkan.
“Sebenarnya dari proses binaan, dekorasi motosikal dan pemilihan warna serta komponen kustom secara keseluruhannya merupakan idea asal kami suami isteri tanpa menggunakan khidmat luar khususnya mereka yang pro dalam pembikinan ini. Semua dilakukan secara bersama dan berperingkat-peringkat. Kami juga tidak perlu terburu-buru untuk menyiapkan dengan cepat.
“Ada juga beberapa bahagian terpaksa dihantar kepada mereka yang terlatih seperti proses mengecat, kami serahkan kepada mereka yang pakar,” ujar Z Bagan yang menyerahkan urusan penyemburan cat di bahagian cover kepada Deqnuar Garage Sg Kecik yang terletak di Nibong Tebal.
Aktiviti Pertandingan
Sikap tidak yakin dan agak malu dengan penghasilan yang diketengahkan membuatkan Z Bagan tidak bersedia untuk mengketengahkan hasil nukilannya tatapan umum. Namun, berkat sokongan yang diberikan oleh isterinya, Z Bagan bagaimanapun akur dan mula mencari ‘tapak’ awal untuk menyertai pertandingan motosikal tercantik bermula di kawasan Utara Semenanjung sahaja.
“Saya mula terjebak dengan Event Motor Show bersama JPJ yang diadakan di Taman Tasik Taiping pada tahun 2019. Atas dasar penyertaan suka – suka saya mendapat pengiktirafan selepas dinobatkan selaku naik juara bagi jentera kategori standard modified,” ujar Z Bagan lagi.
Bermula dari situ, Z Bagan mula mendapat rentak dan sudah bersedia untuk berkecimpung dalam dunia Motor Show. Semua ini adalah hasil usaha dan sokongan padu yang ditunjukkan oleh pasangannya. Dari mencari lokasi pertandingan sehinggalah ke pendaftaran, semua dilakukan oleh isterinya.
Zul beranggapan isterinya adalah tulang belakang sama ada dari hobi hingga perniagaan. Sejak di awal perkahwinan sehinggalah sekarang, Zul ditemani dan diberi sokongan penuh dari isteri tercintanya.
“Tak kira hujan atau panas, isteri sentiasa ada bersama saya. Kalah atau menang, kami tetap bersama. Tidak kira apa keputusan yang dimiliki, kami tetap menerima dengan reda. Lebih membanggakan, isteri ibarat malaikat kecil yang bersama berdiri di belakang saya. Mungkin tanpa dia, nama Z Bagan tidak akan dikenali.
Menyentuh tentang motosikal yang digunakan, Zul Bagan mengakui bahawa jentera keluaran Benelli RS150 sebagai ‘umpanan’ bagi merealisasikan hobinya dalam dunia kustom.
“Ketika ‘sesi’ kaji selidik motosikal yang ingin dimiliki, saya lebih tertarik dengan jenama jentera. Sekali pun, dua jentera dari Jepun lebih dominan dan meraih perhatian kalangan penunggang muda, saya memikirkan mengenai kos dan persaingan yang ramai,” ujarnya yang mengakui terpaksa membeli beberapa komponen dari luar tanahair untuk merealisasikan jentera ini.
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam dunia auto show, Z Bagan mengakui bahawa pernah menyertai beberapa pertandingan motosikal Motor Show antaranya adalah Event Santai Anak Utara (SAU) di Kangar, Perlis dan muncul naib juara bagi kategori Custom Mody.
Tambah Z Bagan lagi, antara kenangan yang menjadi sejarah dalam hidupnya, apabila namanya dinobatkan sebagai Best of The Best di Manjung Marina Resort di Event Mega TTS Kapcai tahun 2023.
“Kenangan paling tidak dapat saya lupakan apabila ‘dipaksa’ bersaing dengan peserta lain di luar kawasan dan di tempat orang lain. Ia adalah idea isteri apabila dia sudah mendaftar untuk menjadi peserta pada pertandingan motorshow di Manjung, Perak.
“Alhamdulillah…saya dinobatkan sebagai Best of The Best pada pertandingan itu. Paling mengharukan saya, air mata isteri saya jatuh setelah saya diangkat selaku motosikal terbaik mengatasi saingan peserta-peserta yang bertanding.
“Bukan kemenangan itu membuatkan saya bangga namun segala jerih perit, usaha dan cabaran yang dihadapinya akhirnya membuahkan hasil. Malah, kejayaan yang saya kecapi merupakan berkat usaha dan pengorbanan Noorasshila Abdullah (isteri) sehingga saya dinobatkan sebagai Best of The Best pada ketika itu,’ ujar Z Bagan lagi.
Ternyata hari ini segalanya sudah menjadi kenyataan bagi Z Bagan bersama pasangannya dan impian mereka berdua untuk memiliki sebuah jentera yang agak ‘berlainan’ bukan sekadar angan-angan Mat Jenin malah kini menjadi sebuah realiti dan paling penting ia adalah jentera juara.
SEKILAS FAKTA
Nama: Zul Irwan Shah Osman
Umur: 43 Tahun
Asal: Perak
Isteri: Noorrasshila Binti Abdullah
Umur 39 tahun
Asal: Kedah
Anak: Nurwardah Zulirwan Shah
Umur: 20 Tahun
Asal: Langkawi, Kedah
SPESIFIKASI JENTERA
Model: Benelli RS150
Tahun: 2019
Spesifikasi: 150cc, blok 62, 19/22
Jenama: Benelli RFS 150i (V1), Tahun 2018
Semburan Cat: Deqnuar Garage Sg Kecik, Nibong Tebal (019 – 4500364)
KOMPONEN/KUSTOM
Handle Universal
Fork Rapido Up Side Down
Mudguard Naza Scooter 150
Winglet Custom Dari NVX 150
Perehat Kaki Kustom Apido Racing
Arm Custom Aprilia RSV4 Vietnam
Mono Ajiracing adjustable
Rim Enkei 3 batang Y15
Hub Spoket Aloi Dari LC 135
Spoket Dari Yamaha RXZ
Single seat cover customade
Bellypan custom dari Y15 Yamaha
Tayar depan Corsa R46 racing drag soft compound size 120/60
Tayar belakang jenis Timsun Japan size 160/70 soft compound
Disk Berkembar Jenis Apido – Kustom oleh Foundri (Rim Engkai 3 Batang)
Brek Pump depan KZR 100 (Superbike) Belakang BREMBO P34
Wiyering handle, Meter, penghidup dari Y15 Yamaha kustom ke Benelli
ECU remap Vietnam
Ekzos Racingline Rmax1
Masterpump Depan Y15, Belakang Jenis Brembo
Winglet Bahagian Tepi Kustom Vietnam
Handle cover LC 1st model limited
Handle damper jenis Kustom