Selepas dua tahun acara Santai Anak Utara (SAU) tidak dapat dijalankan akibat pandemik yang melanda dunia, akhirnya acara tahunan paling gempak dunia permotoran dua roda kembali. Kali ini dengan lebih besar dan lebih meriah sempena sambutan ulang tahun ke-10 yang diadakan pada 3 September lalu.
Berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang terletak di Serdang, Selangor, ia merupakan program pertama SAU yang diadakan di luar utara tanah air. Menurut pengasasnya, Mohd Safiuddin Elias atau lebih dikenali dengan panggilan Acai, pihaknya mahu membuat kelainan sempena menyambut ulang tahun ke-10 dengan mengadakan acara SAU di luar utara tanah air.
Sambutan ulang tahun ke-10 SAU ini diadakan di MAEPS supaya ia lebih adil dan juga memudahkan para peserta untuk datang khususnya mereka yang datang dari Selatan dan Pantai Timur. Bagi memeriahkan lagi sambutan sedekad yang penuh bermakna ini, pelbagai acara telah disediakan pihak penganjur antaranya seperti kaunter bayaran saman oleh pihak polis yang menawarkan diskaun sebanyak 50%.
Selain itu, turut disediakan semasa penganjuran SAU kali ini termasuk platform bimbingan dengan program Safety Ride, sembang dengan ikon permotoran, pertunjukan dari pihak polis bahagian Safety Ride serta Motowazi. Sebelum itu, di sebelah paginya tapak acara dihidupkan dengan aktiviti mengeluarkan peluh dengan berzumba.
Sebagaimana yang disebut awal tadi, penganjuran SAU kali ini lebih besar dan meriah dengan kehadiran artis-artis jemputan yang tidak asing lagi dengan dunia permotoran dua roda iaitu Achey dan juga Zul Huzaimi. Kehadiran mereka berjaya menggamatkan lagi suasana dan menerima sorakan dari para pengunjung. Tidak ketinggalan acara jualan dari para peniaga serta pameran kerjaya badan berkanun serta pihak swasta. Bukan itu sahaja, SAU juga tidak lupa menghulurkan sumbangan kepada Wakaf Pusat Perlindungan Mualaf Hulu Perak hasil sumbangan derma dari pengunjung.
Sebanyak 10 buah motosikal telah disediakan pihak penganjur sebagai hadiah cabutan bertuah yang terdiri dari Z800, Honda RS, Wave, Modenas dan juga Yamaha RXZ Restore. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainuddin yang diiringi Timbalan Menteri Perpaduan, YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal serta ADUN Dengkil, YB Tuan Adhif Syan Bin Abdullah.
Walaupun diadakan di luar utara, SAU kali ini tetap menerima sambutan menggalakkan dengan anggaran kehadiran seramai lebih 50,000 pengunjung. Acara berakhir dengan cabutan bertuah pada sebelah petang dan malam.