Sekali lagi, Muhd Zaqhwan Zaidi dari Boon Siew Honda Racing Team mengungguli kategori MSBK1000 A dalam Race 3 yang berlangsung pada hujung minggu yang lalu. Ekoran kemenangannya pada Race 2 meningkatkan lagi semangat Zaqhwan yang berjaya mendahului Kasma. Walaupun mendahului di beberapa pusingan awal, Kasma terpaksa akur dengan kelebihan pengalaman yang ada pada Zaqhwan yang menakluk litar selepas pusingan ketiga.
Di pertengahan perlumbaan, Kasma ditinggalkan beberapa saat di belakang Zaqhwan yang mengekalkan kedudukannya di hadapan. Jelas sekali Kasma mempunyai kelebihan ketika di selekoh tajam. Manakala Zaqhwan pula mempunyai kekuatan di bahagian hadapan. Tidak dapat dinafikan, ia merupakan persaingan yang sengit di antara pasangan dinamik ini yang begitu ketara terutamanya di beberapa pusingan terakhir.
Zaqhwan menyudahkan pusingan perlumbaan dengan catatan masa 21’29:588s dan diikuti oleh Kasma Daniel Kasma Daniel Kasmayudin dari Yamaha Gen Blu Racing Team Asean dengan catatan masa 21’29:738s. Manakala di tempat ketiga berpihak kepada pelumba Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21’30:157s.
Keputusan Kategori MSBK1000 A
1. Muhd Zaqhwan Zaidi, Boon Siew Honda Racing Team, 21’29:588s
2. Kasma Daniel Kasmayudin, Yamaha Gen Blu Racing Team ASEAN, 21’29:738s
3. Azroy Hakeem Anuar, Boon Siew Honda Racing Team, 21’30:157s
4. Azlan Shah Kamaruzaman, Horizon Racing Team, 22’11:636s
5. Rajini Krishnan, Racr Castrol Power 1 Ultimate, 22’55:828s