Mungkin tidak ramai yang pernah mendengar namanya tetapi Mehmet Doruk Erdem, pereka industri bebas dari Istanbul ini telah menghasilkan banyak rekaan motosikal konsep yang menakjubkan. Berbanding pereka motosikal konsep yang lain, Erdem mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan permukaan dan bentuk mirip raksasa (monster) dan bukannya motosikal.
Setiap motor BMW kustomnya mempunyai daya tarikan persona yang berbeza, lazimnya bahagian hadapannya tampil agak berat seakan harimau yang bersedia menyerang mangsa. Tempat duduk pula lebih tinggi seakan watak He-Man yang sedang menunggang Battle Cat.
Rekaan terbaharunya ialah The Phantom yang asasnya dibina dari BMW S1000RR, di mana daya tarikan motosikal ini nampak menyeramkan. Hampir tiada jarak di bahagian hadapan dan kebanyakan motosikal rekaan Erdem tergolong dalam kategori ‘salt flat race’ jadi ia bukanlah satu masalah. Motor ini juga dilengkapi dengan panel yang kelihatan seperti trak siber dengan reka bentuk sudut yang unik.
The Phantom direka seakan arca yang bergerak dan bukannya seperti sebuah motor biasa kerana tidak mempunyai dashboard atau cermin pandang belakang dan paling tak masuk akal, tiada tempat duduk? Mungkin banyak kekurangan tetapi ia masih lagi sebuah rekaan yang berani. Setuju?
Sumber : Yanko Design