Setiap kali bulan Ramadan, pasti akan ada pelbagai program agihan bubur dianjurkan sama ada orang perseorangan, syarikat-syarikat korporat, badan kerajaan, pihak masjid dan tidak terkecuali, kelab-kelab motosikal. Bagi menyemarakkan lagi bulan yang penuh keberkatan ini, Sahabat Permotoran Utara (SPU) telah menjalankan agihan bubur percuma pada 29 Mac lalu.
Program Bubur Retro Percuma yang dianjurkan Sahabat Permotoran Utara ini menggabungkan kelab-kelab retro dari Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis. Tahun ini merupakan kali ketiga penganjuran program agihan bubur lambuk secara percuma.
Antara kelab-kelab motosikal yang terlibat dan turun padang mengagihkan bubur lambuk ini termasuk Geng Azroy Alor Setar, Geng Retro Alor Setar, Alor Setar Klasik Bike, The Road Warriors, Geng Market Billion RLK, Apache Sereng Penang Kedah, Group Retro Yan, Rachun Dhonia, Streetcub Kedah, Kapchai Alor Setaq, UMC, Vespa Santai Kedah dan D’Awangan.
Program dimulakan sekitar pukul 4.00 petang dengan operasi membungkus bubur lambuk. Selepas solat asar, aktiviti agihan bubur lambuk dimulakan. Diadakan di hadapan Masjid Zahir, bubur lambuk ini diserahkan kepada orang ramai serta pengunjung yang datang untuk berbuka di Dataran Alor Setar.
Kehadiran para peserta yang hadir sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti ini dianggarkan lebih kurang 200 orang. Ada yang hadir dengan membaw makanan sendiri untuk dikongsi dengan rakan-rakan yang lain. Semoga dimurahkan rezeki kepada para penyumbang yang menyediakan bubur lambuk dan juadah hidangan yang lain.