Berita Honda CBR250RR baru yang akan dilancarkan bukan sesuatu yang baru namun kelibatnya masih belum kelihatan. Pada awal tahun ini, berita bahawa CBR250RR akan dibawa masuk lagi, hampir pasti katanya. Beberapa hari lepas, pengedar motosikal berkuasa Honda yang dikenali sebagai Honda Bigwing nampaknya tidak lagi berselindung. Mereka sudah mula membuka tempahan kepada pembeli yang berminat.
Motosikal sportbike suku liter ini pertama kali diperkenalkan di Indonesia pada 2016. Di sana, harga jualan CBR250RR ini bermula pada 65 juta Rupiah atau RM20,100 untuk model asas. Terdapat pilihan skema warna, opsyen sistem ABS untuk varian lebih tinggi. Di Jepun harganya sekitar 300,000 yen (RM11K) lebih mahal berbanding Yamaha YZF-R25 dan ia tidak laris seperti yang diharapkan.
Untuk rekod, Honda CBR250RR dikuasakan oleh enjin baru paralel 2 selinder 4 lejang DOHC 249.7cc sejukan cecair yang dilengkapi sistem Throttle-by-Wire (TBW). Hadir sama ialah 3 pilihan mod pemanduan (RIDING MODE). Ekzos saluran tepi dibina dengan peredam bunyi berkembar. Ia menggunakan sistem suntikan bahanapi sementara kebuk pembakarannya bersaiz 62mm X 41.4mm dengan nisbah mampatan 11:5:1. Kuasa yang dihasilkan ialah 36 kuasa kuda.
Sistem suspensi depan didatangkan dengan set fork terbalik (upside down) sementara bahagian belakang diadaptasi sistem suspensi Honda Pro-Link. Sistem brek pula menampilkan cakera 310mm di hadapan dan belakang 240mm. Secara teknikalnya, ia adalah motosikal 250cc paling canggih dalam pasaran hari ini (sebelum Ninja ZX25RR masuk ke pasaran).
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ