HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn. Bhd memperkenalkan dua warna terbaharu bagi model Yamaha YZF-R15. Dua varian warna menarik itu adalah Biru (Race Blu) dan Hitam (Black) yang akan dipasarkan bermula Oktober ini.
Jentera yang diperkenalkan sejak 2018 tidak banyak mengalami kelainan kecuali perubahan warna dan juga stiker yang ditonjolkan pada bahagian badan jentera terbabit. Tanda harga bagi model YZF-R15 untuk warna terbaharu juga tidak berubah dan akan dijual pada tag jualan RM11,988.00 tanpa sebarang kenaikan kos. Bagaimanapun, pengenalan harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, nombor plat dan perlindungan insuran.
Untuk rekod, YZF-R15 dikuasakan oleh enjin satu silinder 115cc, sejukan cecair dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3hp dan 15Nm tork. Padanan transmisi pula adalah dari unit enam kelajuan bersama klac jenis slipper & assist jenis standard.
Padanan enjin sesaran 155cc, R15 hadir dengan pakej yang cukup sporti seperti tayar yang lebih (100/80-17) di bahagian depan manakala tayar belakang menggunakan saiz 140/70-17 sambil cakera brek depan berdiameter 282mm, brek cakera 220mm di bahagian belakang, panel instrument LCD, kerangka Deltabox dan swingarm jenis aluminium.
Tangki bahan api pula disediakan dengan kapasiti 11 liter dan berat keseluruhan jentera ini mencecah sehingga 137kg. Pada peringkat awal pasaran jentera YZF-R15 terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu biru, hitam dan kuning. Kini, pelanggan HLYM mempunyai pilihan warna yang lebih menarik iaitu Race Blu dan Black yang bakal berada dipasaran Oktober ini.