Ramai peminat motosikal jenis adventure (kembara lasak) yang menunggukan kemuculan Husqvarna Norden 901 setelah prototaipnya ditunjukkan di pameran motosikal EICMA pada tahun 2019. Penantian yang lama ini dikira berbaloi kerana ia akhirnya dilancarkan dan ia mempunyai banyak ciri-ciri yang menarik.
Bagi pengetahuan anda, jenama Husqvarna berasal dari negara Sweden tetapi ia di bawah naungan KTM sekarang ini. Husqvarna memulakan perniagaan mereka dengan membuat mesin-mesin dan alat-alat tangan berkuasa seperti pemotong bergergaji, pemotong rumput, pencuci bertekanan tinggi dan sebagainya. Mereka kemudiannya berkecimpung dalam industri permotoran. Bahagian motosikal telah dibeli oleh KTM beberapa tahun dahulu.
Jadi, model Norden 901 ini sebenarnya menggunakan enjin yang sama dengan KTM 890 Adventure. Walaupun begitu, Husqvarna telah menghasilkan sebuah motosikal yang mempunyai identiti tersendiri yang berbeza dengan model KTM tersebut. Malah bukan sekadar rekabentuk sahaja kerana ia juga mempunyai banyak ciri yang tersendiri.
Norden 901 ini lebih menitikberatkan ciri-ciri bagi tunggangan lasak (off-road) seperti KTM 890 Adventure R, dan bukan 890 Adventure yang standard.
Antara ciri-ciri menarik:
– Enjin LC8c 899cc dua silinder sebaris yang menghasilkan 105hp dan 100Nm.
– Enjin ini menggunakan talaan pembakaran seperti enjin V-Twin 75o yang terdapat pada motosikal KTM
– Fork hadapan WP APEX 43mm memberikan jarak pergerakan (travel) 220mm.
– Monoshok belakang WP APEX di belakang mempunyai jarak pergerakan 215mm.
– Roda depan 21-inci dan roda belakang 18-inci.
– Tayar yang digunakan ialah Pirelli Scorpion Rally STR.
– Kemudahan mod enjin Street, Rain, Off-Road. Pemilik boleh tambahkan mod Explore.
– Kotak gear dengan ciri-ciri Easy Shift, klac Power Assist Slipper Clutch (PASC), dan quickshifter.
– Sistem Cornering ABS yang boleh digunakan di atas jalan berturap dan off-road.
– Sistem ABS tersebut serta sistem kawalan cengkaman tayar juga menuruti sudut mereng motosikal.
– Ciri penunjuk arah melalui ciri tambahan Ride Husqvarna Motorcycles dan applikasi untuk Android dan iOS.
– Skrin TFT berukuran 5-inci.
– Tangki 19 liter yang terletak di bahagian bawah. Husqvarna berkata bahawa ia boleh memberikan jarak tunggangan sehingga 400 km.
– Berat kering yang dinyatakan ialah 204kg.
Husqvarna Motorcycles Malaysia telah mengesahkan yang Norden 901 akan tiba di Malaysia. Maklumat lain seperti tarikh dan harga akan diberitahu kelak.

















