Pembuat sistem brek daripada negara Itali, Brembo, telah memperkenalkan kaliper brek baharu yang dinamakan New G Sessanta bagi meraikan ulangtahun mereka yang ke-60. Brembo merupakan pembuat sistem bahagian serta sistem brek yang amat disegani.
Dalam masa 60 tahun itu, mereka telah berjaya memperkenalkan beberapa inovasi bagi teknologi sistem brek yang telah menjadi tolok perbandingan kepada pembuat brek yang lain. Oleh itu, Brembo memegang lebih daripada 100 paten.
Kaliper New G Sessanta ini mirip dengan kaliper brek motosikal yang pertama dihasilkan oleh mereka pada tahun 1972. Brembo berkata New G Sessanta ini merupakan kaliper buat generasi baharu yang diilhamkan oleh sejarah mereka yang lampau.
Konsep ini berteraskan penggunaan lampu LED pada badan kaliper tersebut. Syarikat itu berkata bahawa konsep ini boleh diadaptasikan kepada semua jenis kaliper Brembo. Kegunaan lampu itu bukan sahaja menyerikan bahagian brek, malah untuk menambahkan ciri keselamatan. Kegunaan LED membolehkan motosikal lebih menyerlah ketika di waktu malam.
Pengguna boleh menukar warna lampu pada kaliper Brembo New G Sessanta ini ketika berhenti melalui aplikasi telefon pintar. Boleh memilih warna mengikut kesukaan hatinya mahupun untuk membezakannya daripada lampu kenderaan yang lain. Selain daripada itu, Brembo mengharapkan bahawa sistem ini diadaptasi kepada kunci kawalan jauh motosikal dan bernyala untuk memudahkan penunggang mencari motosikalnya.
Ia memang suatu teknologi yang menarik tetapi kami berharap bahawa ada cara untuk menguncinya kepada motosikal dengan selamat. Anda mungkin tahulah apa maksud kami.
Sumber : Brembo