Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan versi terbaharu moped paling hot mereka, Y16ZR dengan pengenalan sistem brek anti-kunci ABS (Anti Brek System) bagi tahun 2024 untuk pasaran tanah air. Selain dari sistem keselamatan ABS, moped terbaharu kali ini dilihat mempunyai rekaan yang agak sporty!
Rekaan cukup agresif dari segi penampilan kelihatan agak segar dengan cover set hadapan serba baharu dan visor hadapan memberikan penampilan lebih sporty. Diimbangi sistem pemberhentian jenis saluran tunggal, Y16ZR versi 2024 juga membuat peningkatan pada saiz rotor brek di bahagian hadapan. Memberikan prestasi brek jauh lebih baik dan keselamatan pengguna juga lebih baik hasil daripada peningkatan yang diperbaharui.
Untuk rekod, Y16ZR masih kekal dengan prestasi enjin silinder tunggal berkuasa 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) daya kuasa boleh mencapai 17.7hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 14.4 Nm @ 8,000 rpm, model keluaran Yamaha ini tetap menjadi pilihan pengguna muda dan tampil lebih bertenaga ketika di atas jalan raya.
Bagi menambah keselesaan dan kecekapan tunggangan, moped ini dilengkapi dengan kotak gear enam kelajuan, sistem “klac assist & slipper” untuk memastikan penukaran gear yang lebih lancar. Bukan itu sahaja, penunggangan jadi lebih menyeronokkan di kala berlibur di hujung minggu.
Selain dari peningkatan dari segi prestasi dan keselamatan, Y16ZR ABS 2024 juga pastinya memikat golongan pembeli muda dengan pilihan warna yang segar dan moden. Tiga pilihan warna yang boleh anda nikmati adalah Violet Knight, Ocean Neon dan Mag Grey mungkin membolehkan anda mengekspresikan personaliti masing-masing menerusi pilihan warna yang bersesuaian.
Model Y16ZR terbaharu ini turut dipadankan dengan skrin digital LCD sekali gus memberi kemudahan kepada penunggang untuk mendapatkan data atau maklumat penting dengan pantas. Sistem kunci pintar memudahkan kepada pemilik moped ini terutamanya bagi mereka yang menjadikan ia sebagai kegunaan harian.
Y16ZR ABS 2024 yang dilancarkan dengan Starhill Bukit Bintang, Januari lepas telah pun berada di semua pengedar sah Yamaha pada tag harga jualan bermula dari RM11,398.