Gelombang baharu yang sedang bergerak pantas dan sangat positif dalam kalangan masyarat kebelakangan ini, Solat Subuh Seramai Jumaat. Terbaharu, satu program yang sama telah dianjurkan oleh Masjid Abdullah Fahim yang bertempat di Bertam Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Permotoran RXZ Members Utara serta Northern Versys Owner’s Group – NVOG (Friends).
Program ini turut mendapat kerjasama baik dari Penang Bikers Club (PBC), Northern Kawasaki 1400 GTR Club Adventure Touring Motorsports (ATMS) serta beberapa kelab lain seperti ARC & Northern ADV dan banyak lagi. Lebih 300 orang bikers terlibat dalam program yang merangkumi sesi qiamullail dan mujahadah subuh macam Jumaat yang turut mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk setempat.
Dimulakan dengan qiamullail yang disampaikan oleh Ustaz Ridzwan Al Sudaisi seawal pukul 5.00 pagi, disusuli Solat Subuh Seramai Jumaat sekitar pukul 6.20 pagi dihadiri bikers dan penduduk setempat kariah Masjid Abdullah Fahim. Dianggarkan lebih 500 orang jemaah memenuhi ruang solat serta persekitaran Masjid Abdullah Fahim termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.
Setelah selesai solat subuh berjemaah, program diteruskan dengan bacaan surah Al-Waqiah sekitar pukul 6.45 pagi yang disusuli dengan program Bicara Santai Subuh pada pukul 7.00 pagi, diketuai oleh Imam Utama Masjid Abdullah Fahim, Ustaz Abdul Malek sebagai moderator dengan panel jemputan iaitu Ustaz Shah Fazrul serta Dr Mohd Nizam Sahad. Gabungan ketiga-tiga sosok dihormati ini ternyata memberi impak yang mendalam khususnya kepada bikers yang terdiri daripada anak-anak muda, harapan dan tonggak negara juga agama.
Seterusnya, program diteruskan dengan pelancaran Pasar Sabtu anjuran Koperasi MAF (KOMAF) yang melibatkan lebih 50 buah gerai di kawasan masjid, disusuli Kursus Umrah Perdana pada pukul 9.00 pagi bagi mereka yang berhajat untuk menunaikan umrah pada tahun ini.
Sebagaimana yang dinyatakan di awal-awal tadi, Subuh Macam Jumaat menjadi trend masa kini. Tahniah dan syabas kepada yang hadir, anak-anak muda, geng motosikal dan semua jemaah yang bersemangat sepanjang program yang julung-julung kalinya diadakan di Masjid Abdullah Fahim bermula pada tahun 2024 ini. Semoga diberikan kekuatan agar istiqamah untuk mengimarahkan masjid serta surau pada setiap pagi di masa akan datang.
Perkongsian ;
Fazrul Shahril
NVOG & Friends