Kelab Y16ZR Utara ditubuhkan pada 14 April 2021 oleh saudara Maszaiful Bin Mahayudi yang dikenali sebagai Saiful Magicworld. Walaupun masih baharu, Kelab Y16ZR Utara mencatatkan seramai 256 orang ahli di kawasan utara setakat hari ini. Satu jumlah yang agak ramai untuk sebuah kelab yang baharu.
Bagi makluman, Kelab Y16ZR Utara ditubuhkan bertujuan untuk menambah kenalan serta mengeratkan silaturahim peminat dunia permotoran di kalangan pemilik Y16ZR. Selain itu, saling membantu sesama ahli kelab jika berlaku sebarang musibah. Malah, ahli-ahli kelab akan bergabung untuk membantu meringankan beban dan bukan mencari lawan.
Sejak ditubuhkan, tidak banyak program atau aktiviti dapat dijalankan ekoran pandemik Covid-19. Namun, setelah pihak kerajaan menarik balik sekatan yang dikenakan sebelum ini, akhirnya Kelab Y16ZR Utara berpeluang menyusun semula perancangan untuk melakukan sebarang aktiviti.
Satu aktiviti yang pernah diadakan iaitu Ride Santai Ke Kuala Perlis Dan Kuala Kedah. Kelab ini juga merancang untuk menganjurkan ride ke kawasan tengah/selatan Semenanjung serta Gathering Y16ZR Satu Malaysia di masa akan datang. Kelab ini juga ada menganjurkan gathering yang diadakan di Pantai Merdeka Kuala Muda baru-baru ini.
Bagi memeriahkan lagi penganjuran aktiviti ini, kelab Y16ZR Utara telah mengundang wakil majalah Roadstar kawasan Utara untuk merakam sesi bergambar kenangan yang berlangsung pada 9 Januari lalu. Bermula pada pukul 4 petang, aktiviti ini berlanjutan sehingga pukul 7 malam setelah selesai sesi bergambar dan penyerahan baju kelab.