Setelah hampir setahun rancangan untuk ke La’ Cottage Kampar tergendala akibat pandemik Covid-19, akhirnya ia berjaya dilaksanakan pada 15 dan 16 Januari yang lalu. Ride kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 48 buah motosikal yang terdiri dari ahli-ahli Jerejak Crew dan di luar jangkaan oleh pihak pengurusan. Bagi mengiringi para peserta, turut terlibat dalam ride kali ini ialah sebuah jentera 4×4 sebagai kenderaan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
Para peserta bertolak dari Pulau Pinang lebih kurang pukul 10.00 pagi dan tiba dengan selamat di La’ Cottage pada pukul 2.30 petang tanpa masalah. Pihak Jerejak Crew turut menjemput wakil majalah Roadstar kawasan utara bagi merakamkan kenangan setelah begitu lama tidak berkonvoi.
Pelbagai acara telah disusun pihak La’ Cottage bagi memeriahkan lagi suasana, antaranya termasuk aktiviti tarik tali dalam air dan juga siapa dapat menyelam paling lama. Sesiapa yang berminat juga berpeluang memancing dan melakukan aktiviti Jungle Tracking. Selain itu, bermandi-manda dan menjamu selera. Sebelah malamnya pula diadakan aktiviti barbeku kambing peram, ayam dan lain-lain lagi.
Acara makan malam berakhir sekitar pukul 11.00 malam. Keesokannya pula, para peserta bersarapan dan makan tengah hari disediakan oleh pihak La Cottage. Para peserta juga mengambil kesempatan ini bermandi-manda sepuas-puasnya. Selepas makan tengah hari lebih kurang pukul 2.00 petang.
Kemudian, para peserta konvoi bergerak pulang ke Pulau Pinang dan selamat tiba sekitar pukul 6.00 petang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Jerejak Crew yang memberi kerjasama sepanjang perjalanan pergi dan balik. Semoga akan ada lebih banyak lagi aktiviti dari Jerejak Crew yang dikongsikan di masa akan datang.