Motosikal hanya untuk lelaki? Tidak. Dalam dunia yang serba moden, kenyataan ini sudah jauh ketinggalan. Kalau masih ada yang bertempik mengatakan sedemikian, bersedialah untuk dikecam. Hakikatnya, minat terhadap dunia permotoran khususnya yang melibatkan jentera dua roda ini tidak terbatas hanya untuk golongan lelaki dan ia lebih bersifat universal. Malah, di Malaysia sendiri sudah ramai ikon dua roda wanita. Ramai, kan?
Bercakap tentang ikon dua roda, Queensland Art Gallery Of Modern Art (QAGoMA) sedang mengadakan sebuah pameran The Motorcycle; Design, Art, Desire yang bermula dari 28 November lalu sehingga 26 April 2021. Salah satu daya penarik pameran ini adalah motor yang ditunggang wanita terpantas Australia, Kim Krebs. Beliau pernah menunggang motor ini dengan kelajuan 350km/j dan masih lagi ingin pergi lebih laju dari itu!
Motor yang ditunggang Kim Kreb ini dan berjaya mencipta rekod turut dipamerkan di pameran ini bersama beratus-ratus lagi motor yang dihimpunkan dari seluruh dunia oleh Charles M.Falco dan Ultan Guilfoyle. Setakat hari ini, pameran ini berjaya menarik perhatian jutaan pelawat yang berminat untuk menyaksikan pelbagai koleksi motor.
Selain dapat menyaksikan koleksi pelbagai motor yang jarang dilihat, para pelawat dan pengunjung juga didedahkan dengan informasi serta pengetahuan tentang rekaan, sejarah moden, budaya popular serta kesenian tentang motor. Pameran ini pastinya menjadi satu pengalaman menarik khususnya kepada penggemar motosikal seluruh dunia.
Sumber : The Coversation / QAGOMA