Sebaik sahaja terpandang motor dengan fairing kayu ini, pasti ada yang teringat dialog dari filem Gone In 60 Seconds. “Wood’s warm, clean. Provided by nature. To see a piece of furniture take shape it’s like watching child grow,” Kata-kata ini sesuai dengan George Woodman yang menggunakan kayu dalam projek motosikalnya.
Motor yang anda lihat ini digelar sebagai Hommage dan ia merupakan projek terbesar pernah dibuat George Woodman. Ini bukan kali pertama beliau menggunakan kayu ke atas projek modifikasi motosikal. Sebelum ini, beliau menambah elemen kayu di bahagian lampu hadapan dan juga tempat duduk. Berbeza dengan projek kali ini, beliau telah melengkapkan fairing saiz penuh ke atas Yamaha XSR700!
Bagi mendapatkan hasil yang cukup sempurna, beliau menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk mendapatkan bentuk dan permukaan kayu dengan menggunakan tangan sendiri. Kemudian, beliau menyalutkan bahagian ini dengan lapisan kaca fiber dan juga resin untuk melindungi dari elemen-elemen yang tidak diingin, proses yang sama seperti menghasilkan papan luncur air.
Selain fairing kayu yang unik ini, beliau turut melakukan beberapa lagi modifikasi lain. Bahagian hadapan dan belakang dipasangkan dengan suspensi dari Öhlins. Beliau turut menggunakan penapis udara, ekzos XRace dan tayar Pirelli Diablo SuperCorsa. Motor ini juga dilengkapkan dengan tempat duduk kustom dan cat kustom oleh sahabat beliau iaitu Jérome Lopez.
Motor dengan fairing kayu ini nampak lebih bagus dari model XSR700 yang asal. Setuju?
Sumber – RideApart.com