Palsu : Polis Kompaun Penunggang Motosikal Tidak Pakai Pelitup Muka Adalah Tidak Benar!
Satu rakaman video tular di media sosial yang mendakwa beberapa penunggang motosikal ditahan polis kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka. Dalam video berdurasi 42 saat itu turut menunjukkan beberapa penunggang motosikal berpatah balik. Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya ia merupakan video yang dirakam 12 Jun tahun lalu bagi mengesan penunggang motosikal yang tidak menggunakan laluan disediakan di Lebuh Raya Persekutuan.
Menurut Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, sebanyak 227 saman telah dikeluarkan atas kesalahan berkenaan dalam operasi tersebut. Beliau juga menggesa orang ramai agar berhenti menularkan berita yang tidak tepat. Mana-mana individu yang didapati sengaja menyebarkan rakaman video terbabit akan dikenakan tindakan tegas, jelas beliau lagi.