MV Agusta Brutale 800, Motosikal Naked Cantik!
Pakar motosikal eksotik Meccanica Verghera atau MV Agusta, sekali lagi melakarkan ilham ciptanya versi naked iaitu Brutale 800. Model ini diperkenalkan di EICMA pada tahun 2016. Saya kagum melihat sudutnya yang melengkung, menjadikan ia sangat kemas. Sentuhan terperinci memerlukan gabungan idea serta kreativiti mantap bagi menghasilkan ciptaan berkualiti dan baik.
Brutale 800 adalah jentera yang berbeza dalam kelasnya. Sebuah motosikal tegak, model Brutale 800 adalah jentera tanpa plastik. Tidak puas dengan hanya sekali pandang, anda pasti mahu melihatnya secara lebih terperinci. Tampil bergaya, tangki minyak bersambung dan tersorok di bawah pelana depan bingkai Trellis yang menonjol dengan tiub Triangulasi, cukup sempurna. Single Swing Arm (Lengan Hayun Tunggal) jelas menunjukkan roda belakang. Tiga lubang ekzos selari dan unik.
Bagi saya, Brutale 800 adalah sebuah motosikal berkuasa tinggi yang menuntut penunggang atau pemiliknya untuk lebih peka, ambil masa bagi memahami segala instrumen yang didatangkan bersamanya yang mengikut citarasa masa kini. Selesai menbelek, barulah dapat dinilai dengan merasa potensi Brutale 800 yang sebenar. Nasihat saya, kenali motosikal anda.
Kesempatan diberikan pengedar motosikal MV Agusta di Malaysia, Moto Varese Asiatic Sdn Bhd untuk menguji Brutale 800 keluaran jenama dari Itali yang juga negara kelahiran 9 kali juara dunia MotoGP, Valentino Rossi. Jentera yang menawan dengan identiti tersendiri. Sudah tentu hebat, canggih dan berkarisma. Lampu depan baru LED berbentuk bujur, ditambah pula dengan kedudukan menunduk seolah-olah sebuah motosikal klasik. Fork 43mm Marzocchi berwana hitam menambah kelembutan dan sejuk mata memandang. Mono belakang Sachs 4.9 inci boleh laras sepenuhnya, menjamin hentakan dan ayunan yang baik.
Saya menjangka Brutale 800 menggunakan enjin twin tetapi silap kerana enjin yang digunakan adalah enjin 798cc dengan In line Three silinder. Selain itu, ia dilengkapi dengan pakej eletronik yang telah dikemaskini termasuk mod traction (daya tarikan). Brutale 800 ada 4 mod; Rain, Sport, Normal dan Custom. Traction (Daya Tarikan) mempunyai 8 tahap. Wah, banyak nak kena ingat! Tidak mengapa kerana sekarang sudah tiba masa untuk saya menilai kemampuan Brutale 800 keluaran jenama Itali ini dengan permukaan jalan dan cuaca Malaysia.
Mod Normal merupakan salam perkenalan saya dengan Brutale 800. Difahamkan dan mengikut buku manual, penunggang harus memberhentikan motosikal setiap kali ingin menukar mod demi keselamatan. Bagi menguji, saya cuba menukar mod semasa menunggang. Sekiranya anda seorang penunggang baru, nasihat saya jangan sesekali mencuba. Kedudukan mod suis di sebelah kanan hendal bar agak mengganggu pendikit. Namun begitu, kekerapan memetik suis mod membolehkan minda dan tangan secara automatik bertindak mengikut kesesuaian.
Terdapat Quick shifter, satu sistem yang diadunkan pada transmisi untuk menaik dan menurunkan gear tanpa menggunakan klac. Sebelum itu, jangan tersilap. Gear 1, klac mesti ditarik. Brutale 800 dipadankan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso 3 yang terbukti amat sesuai di jalan raya Malaysia. Hari pertama menunggang Brutale 800, nasib tidak menyebelahi saya. Hujan lebat dan trafik sesak. Adakah ujian telah dikira bermula? Lazimnya, selepas beberapa jam mengenali motosikal barulah sesi ujian bermula tetapi dengan MV Agusta Brutale 800, keadaannya berbeza dan agak mencabar.
Setengah jam berkenalan, secara spontan ujian pun terus dimulakan. Aduh! Saya terpaksa menggunakan Mod Rain ekoran jalan raya yang licin. Lampu depan diubah kepada LED dan mod Traction (daya tarikan) dikekalkan pada tahap no 8. Kombinasi 3 serangkai ini memberi impak yang boleh dibanggakan. Seolah-olah baru belajar menunggang motor apabila pertama kali mencelah deretan kenderaan dengan Brutale 800 dalam keadaan jalan yang licin. Di bahagian kiri dan kanan hendal terdapat beberapa fungsi yang harus difahami untuk digunakan mengikut kesesuaian jalan raya.
Sistem brek ABS boleh dimati dan dihidupkan siap terpasang pada motosikal ini. Cakera berkembar 320mm di hadapan dan 220m di belakang cukup mantap. Jalan yang licin memaksa saya menggunakan brek depan dan belakang untuk mengelak pergeseran yang boleh mengakibatkan kemalangan. Sistem keselamatan Brutale 800 berprestasi cukup baik. Dengan hendal bar yang lebar, motosikal mampu dikawal dengan baik.
Ujian diteruskan pada waktu siang dan jalan yang dipilih kali ini adalah lebuh raya LATAR. Permukaan jalan di beberapa tempat beralun. Sesuai untuk ujian pecutan serta merasa bagaimana hentakan dari absorber depan dan mono di belakang serta menguji mod yang terdapat di kiri dan kanan hendal bar. Mod Normal digunakan seawal ujian. Dapat dirasakan respon dari pendikit agak lembut dan cukup santai. Dipendekkan cerita, mod ini untuk newbie. Mod Normal ini sangat sesuai bagi tunggangan dalam bandar yang santai, ringan dan menyeronokkan.
Marzocchi fork depan berfungsi dengan cukup baik, terasa ringan dan memberikan keyakinan. Manakala Sachs monoshock belakang terasa sedikit keras terutama sekali apabila melalui jalan beralun. Keseluruhannya, suspensi depan dan belakang masih lagi terbaik bagi saya. Quick shifter suatu sistem yang terpasang dengan kotak gear dalam membantu penukaran transmisi gear naik dan turun serta merupakan kit bersepadu yang dipadankan oleh jurutera pereka model Brutale 800 ini. Proses naik dan turun cukup lembut, menepati teknologi quickshifter terkini.
Saya cuba mengubah dari mod Normal kepada mod Custom yang memerlukan sedikit kajian; mod ini memberikan kebebasan kepada penunggang secara manual bersesuaian dengan gaya tunggang dan situasi semasa. Bagi saya, mod ini tidak diperlukan sangat ketika nerada di lebuh raya. Pengunaan mod Sport cukup memberikan kesan. Hanya pulaskan sedikit sahaja pendikit dan hasilnya kelajuan ketara begitu mendadak.
Fokus saya 100% tertumpu ke atas jalan raya dan tiada masa untuk bersantai apabila menggunakan mod ini. Cuma terfikir, mungkin ada kesan ke atas suspensi sekiranya mod ini digunakan. Ini diikuti Ekzos Triple Tipped standard, kemegahan MV Agusta. Bunyi yang dihasilkan semasa pecutan cukup seronok didengar. Walaupun bunyi yang dihasilkan tidak seperti motosikal SBK, tetapi kelembutan bunyinya cukup menarik di halwa telinga.
Pelana (seat) digabungkan dengan baik ke pemijak kaki (foot pegs), kedudukannya agak ke belakang dan tidak terlalu tinggi. Bagi saya, kedudukan penunggang bagi model Brutale 800 masih lagi dalam kategori Duduk Atas Motor atau Slant Sporty di mana badan agak membongkok sedikit dan graviti berat tidak harus diletakkan pada tangan terlalu banyak. Jika tidak, tangan akan cepat lenguh dan kebas.
Paparan digital meter dengan pelbagai penunjuk kurang menjadi tumpuan. Hanya apabila ingin melakukan sesuatu perubahan sewaktu motosikal diperlahankan, barulah tumpuan dialihkan kepada meter bagi memastikan setiap perubahan yang dilakukan berfungsi dan dipaparkan.
Ujian selama 1 jam pergi dan balik sepanjang lebuh raya LATAR menyakinkan saya bahawa Brutale 800 bukan calang-calang motosikal Naked. Hanya sedikit kelemahan ditemui, selebihnya kehebatan yang perlu diberi perhatian khusus oleh pengeluar Naked jenama lain tentang Brutale 800. Saya ada dengar dari rakan-rakan media, Brutale 800 merupakan motosikal Naked yang mengagumkan. Selepas mengujinya untuk jangka waktu yang singkat, saya akui kenyataan tersebut adalah benar.
Reka bentuk menarik, sistem lampu efisien dan klasik, sistem gear dan gabungan enjin cukup lembut serta berkuasa. Suspensi depan dan belakang memberikan hentakan yang cukup sesuai digabungkan jenama tayar Pirelli. Seperti yang dinyatakan awal tadi, “kenali motosikal anda” dan keseronokan akan menjelma tanpa dipaksa.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 50