Lebih 200 buah motosikal klasik Honda C70 telah menawan kawasan pantai yang menghadap Laut China Selatan sempena berlangsungnya Gathering V2 Kelantan Custom Rare pada bulan November lalu. Sebagaimana lazimnya, Pantai Sri Tujoh sering menjadi tumpuan ramai pengunjung khususnya ketika hujung minggu juga hari kelepasan am dan kehadiran para peminat motosikal klasik di sini memeriahkan lagi pantai ini.
Menurut presiden Kelantan Custom Rare, En Shazwan Saupi yang juga selaku penganjur berkata, program ini diadakan dengan kerjasama Rachun Dhoniaa, kelab motosikal klasik Honda C70 dari utara tanah air. Bertemakan Orang Lama Kembali Lagi, program Gathering V2 Kelantan Custom Rare ini berjaya menghimpunkan lebih 200 orang peserta melibatkan ahli kelab Kelantan Custom Rare dan Rachun Dhoniaa yang datang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Program dengan tema unik ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan ukhuwah serta mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan ahli kedua-dua kelab. Selain menunggang motosikal klasik, para peserta juga mengenakan pakaian gaya orang lama yang lengkap dengan semutar dan songkong, bertepatan dengan tema program.
Menurut En Shazwan lagi, bagi meraikan sahabat-sahabat dari utara tanah air, Kelantan Custom Rare selaku tuan rumah telah menyiapkan sebuah gerai atau kedai kopi yang dibina menggunakan kayu terpakai untuk disesuaikan dengan tema program sekali gus mengembalikan nostalgia. Bermula sekitar 12 tengah hari dan berlanjutan sehingga pukul 11.00 malam, tiada saat-saat membosankan sepanjang program berlangsung. Tahniah!