Bertempat di perkarangan Marina Island Convention Centre Lumut, Perak, telah berlangsungnya program Mega TTS Kapcai 2023 pada 26 November bersamaan hari Ahad. Dianjurkan oleh Persatuan Suara Perak (SUSPEK) dan kelab Motorshow Perak bersama Marina Island sebagai rakan strategik program.
Bertepatan dengan hari hujung minggu, program ini berjaya menarik minat ramai peminat motosikal kapcai dari Johor, Pulau Pinang, Lembah Klang selain negeri Perak sendiri. Bagi memastikan para pengunjung kekal terhibur sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan pihak penganjur. Antaranya termasuk pertandingan karaoke, gerai-gerai pameran, gerai-gerai jualan makanan.
Namun, aktiviti yang paling menjadi tumpuan ialah pertandingan Motosikal Tercantik (Motorshow) yang dikendalikan oleh saudara Firdaus dari Kelab Motorshow Perak yang dipertanggungjawabkan pihak penganjur untuk mengendalikannya. Penyertaan untuk aktiviti ini sangat menggalakkan, dimana telah disertai sebanyak 106 buah motosikal.
Hampir 1000 orang telah menyertai program Mega TTS Kapcai 2023 ini yang dirasmikan oleh ADUN Pulau Pangkor, YB Nor Haslinda Zakaria. Program ini turut dihadiri oleh Madam Ding Mei Looi (CEO Marina Island), En. Affendy Shah (Pengerusi Suara Siaraya Perak – SUSPEK) dan En. Firdaus (Presiden Kelab Motorshow Perak).
Selain Motorshow sebagai daya tarikan utama, program ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Kerusi Berirama, pertandingan Motosikal Lambat, pertandingan Tolak Motosikal serta jualan baju program. Program melabuhkan tirainya dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang telah disampaikan oleh Dato’ Dr. U Puniveswaran (CEO Punnimas Sdn Bhd).
Hadiah-hadiah turut disampaikan oleh beberapa lagi tetamu lain seperti En. Anuar Bin Omar (Pengerusi KRT KDSK), En. Affendy Shah (Pengerusi Suara Siaraya Perak – SUSPEK) dan En. Rashidy Bin Bahauddin (Timbalan Pengerusi SUSPEK) seterusnya menandakan tamatnya program ini yang berakhir sekitar pukul 7.00 malam.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan penaja seperti Koyoko, FKR, Zascrome, geng-geng penyokong kelab, Marina Island, SUSPEK, Cik Din Corner, Biriyani, Kedai Motor PST Accessories Bike Station. Tahniah juga diucapkan kepada pemenang Best of The Best Pilihan Marina dari Pulau Pinang yang membawa pulang piala dan baucar 2 hari dan 1 malam yang ditaja pihak Marina Island.