Nantikan Kemunculan Honda CBR600RR 2021 Tak Lama Lagi
Beberapa minggu lepas, ada bisik-bisik mengatakan tentang motosikal terbaharu dari Honda bakal dilancarkan tidak lama lagi. Kini, berita kemunculan Honda CBR600RR untuk model 2021 telah pun disahkan dan akan dilancarkan pada 21 Ogos ini di Jepun.
Sebagaimana yang diketahui, motosikal segmen supersport 600cc ini mempunyai tarikan tersendiri. Kuasanya berada di tengah-tengah, tidak kecil dan juga tidak terlalu besar. Lebih menarik lagi, ia ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Seperti yang dapat dilihat pada CBR600RR 2021 ini, tarikan utamanya terletak pada reka bentuk yang membawa pengaruh CBR1000RR-R tetapi dalam skala yang lebih sederhana. Beberapa pembaharuan telah dilakukan ke atas model ini termasuk peningkatan prestasi keseluruhan seperti enjin 599cc DOHC 4 lejang, 4 silinder, teknologi kawalan elektronik dan teknologi aerodinamik terkini.
Berdasarkan maklumat, ciri-ciri sedia ada seperti kuasa, mudah dikawal dan pengendalian diperbaiki untuk kegunaan sama ada di litar mahupun kegunaan harian. Ini adalah kecenderungan yang tipikal buat Honda di mana faktor pengendalian adalah penting meskipun mempunyai motosikal yang hebat di dalam MotoGP.
Walaupun bahagian reraut (fairing) membawa pengaruh CBR1000RR-R, bahagian lain kelihatan kekal seperti model sebelum dengan ekzos di bawah kerusi. Komponen utama lain seperti lengan ayun, brek dan sepit udang juga nampak dikekalkan. Perubahan terbesar seperti yang dimaklumkan Honda adalah pada prestasi enjin dan pengendalian atau elektronik supaya selari dengan model lain dan peredaran teknologi.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ