Komuniti Minibike Negeri Sembilan (N9MC) bersama rakan strategik telah menganjurkan perlumbaan terbuka N9MC Minibike Championship 2019 yang berlangsung pada 28 April 2019. Disertai lebih 45 pelumba sukan minimotor yang datang dari seluruh Malaysia, perlumbaan ini merupakan sebahagian aktiviti sempena penganjuran program perhimpunan terbesar motosikal Motopicnic yang diadakan di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.
Perlumbaan ini juga merupakan sebahagian usaha Komuniti Minibike Negeri Sembilan (N9MC) untuk mengangkat minibike sebagai salah satu cabang sukan permotoran negara selain menggilap bakat pelumba yang meminati sukan lasak. Perlumbaan ini berjaya menarik penyertaan para pelumba cilik berbakat serta dimeriahkan lagi kehadiran pengunjung yang mengambil peluang untuk melihat aksi lumba yang mendebarkan dengan lebih dekat.
Perlumbaan ini turut mendapat sokongan dan kerjasama dari Yahya Son Generation Media, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Port Dickson, Majlis Perbandaran Port Dickson, Polis DiRaja Malaysia Daerah Port Dickson, agensi-agensi kerajaan daerah Port Dickson, kelab-kelab motor dan syarikat-syarikat penaja. Antara syarikat yang berbesar hati menaja perlumbaan ini adalah JLRS, PD Famous, SR Stall, Mek Tomyam, Republik Of Event, Kemang Fried Chicken, Oldskool, Faiz Hamzah Cabinet dan banyak lagi.
Sebanyak enam kategori telah disediakan yang disertai para pelumba berusia seawal empat tahun hingga 12 tahun. Manakala kategori yang dipertandingkan adalah N9MC Novice QT U9; N9MC Expert QT U12; N9MC Open QT U15; N9MC Open Machine U15 dan N9MC New Selection. Bagi menyemarakkan lagi penganjuran perlumbaan ini, satu kategori N9MC Open Master turut diadakan dan disertai seramai enam orang pelumba dewasa. Kehangatan tapak acara dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti lain seperti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan.