Bukan lagi satu nama yang asing, Melaka Lady Bikers atau MLB bukanlah satu grup motosikal yang dilimpahi dana berjuta, namun mempunyai keterampilan sebagai muslimah berdisiplin yang cukup membanggakan. Intergriti yang ditonjolkan ahli kelab serta pemimpin yang berkaliber, berjaya mengilapkan nama grup ini.
Sekadar berkumpul di hujung minggu, itu detik permulaan Melaka Lady Bikers yang kini telah dinobatkan sebagai grup motosikal wanita negeri Melaka pada tahun 2014. Dipimpin oleh Puan Mas Zila Mohd, Presiden yang disegani ahli-ahli kelab MLB. Lebih mesra dengan gelaran kak Mas, beliau merupakan seorang penunggang tegar. Terkini, beliau mempunyai jentera baharu iaitu BMW GS1200.
Menurut kak Mas, MLB tidak rasis malah sentiasa membuka pintu buat penunggang kapcai. Jangan pandang rendah kepada adik-adik yang menunggang kapcai. Generasi ini seharusnya dididik dan dilatih agar dapat menyambung legasi MLB di masa akan datang. Boleh dikatakan, 99% ahli MLB adalah anak jati Melaka. Selain itu, terdapat juga bikers wanita dari Singapura, Kuala Lumpur dan Johor yang turut menjadi ahli MLB. Jumlah terkini keahlian MLB ini hampir mencecah 50 orang dan 10 orang darinya adalah penunggang motor kapcai.
Selama hari ini, belum pernah dilihat kelab motosikal wanita yang berpakaian jaket (vest) pantulan cahaya ketika berkonvoi. Bagi tahun 2020 ini, MLB membuka tirai bagi grup motosikal wanita. Jaket pantulan cahaya ini merupakan fesyen terkini dan sesuai dipakai penunggang wanita. Penunggang kapcai MLB tidak dikecualikan. Mereka dibekalkan dengan jaket pantulan cahaya jenis bertali. Keselamatan adalah syarat utama MLB selain mempunyai lesen motosikal serta cukai jalan yang masih hidup. Dua syarat wajib sebelum menjadi ahli MLB.
Buat ahli MLB beragama Islam yang berhijab, pemakaian hijab diselaraskan iaitu berwarna pink dan tertera logo MLB di belakang. Selain berfesyen, keterampilan muslimah sentiasa dititikberatkan. MLB juga mengamalkan pemuafakatan serta toleransi sesama ahli. Perkara yang sering ditekankan oleh presiden kepada semua ahli MLB, tiada kuasa veto dan tidak berpuak-puak. Segala keputusan mengikut persetujuan ramai.
Selain itu, MLB turut mengutamakan displin dan ia adalah isu paling sensitif bagi kelab atau grup motosikal khasnya sewaktu berkonvoi. Majoriti pemilik kapcai MLB belum berpengalaman menyertai konvoi bersama motosikal berkuasa tinggi. Demi memastikan penunggang kapcai MLB siap siaga untuk menyertai konvoi. MLB telah merealisasikan latihan berkonvoi sesama sendiri sambil diawasi oleh ahli MLB berpengalaman. Info tentang isyarat tangan yang sering diguna sewaktu berkonvoi dan langkah-langkah perlu diambil sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.
Teori serta praktikal diberikan kepada penunggang kapcai serta ahli MLB yang kurang berpengalaman. Hasil didikan ternyata membuahkan kejayaan serta mendapat kepujian. Kata-kata kak Mas dibuktikan sewaktu MLB menyertai konvoi bersama Annaco iaitu grup motosikal dari Singapura. Lebih dari 300 buah motosikal menyertai konvoi sepanjang 2km jaraknya. Destinasi ke Sg Umbai, Melaka.
Menurut Presiden MLB ini, kelab tidak pernah menyekat mana-mana ahli yang ingin meneroka lebih mendalam tentang dunia permotoran. Jika ada ahli yang ingin mengembara secara solo atau dalam kelompok yang kecil, MLB sentiasa menyokong dan membantu semampu mungkin. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta kunjungan kepada grup motosikal wanita dari luar negara akan diadakan mengikut kesesuaian masa.
Kini nama MLB sudah cukup terkenal di Singapura, Sarawak dan Sabah serta seluruh semenanjung Malaysia. Semoga usaha dan budaya MLB menjadi tauladan buat grup motosikal wanita yang lain. Berpegang slogan mudah, “ Menunggang berhemah ramai kawan, menunggang berlagak kita dibenci,” Melaka Lady Bikers, penunggang motosikal wanita yang bukan kaleng-kaleng!
Disediakan oleh : Janggo