Kalau mengimbas sejarah era 1940an, ianya berkisar tentang perang dunia kedua yang mengakibatkan kemusnahan keseluruh dunia. Penulis tidak ada pengalaman sendiri tetapi itulah yang dicatatkan dalam sejarah dan pastinya menjadi rujukan untuk generasi yang akan datang.
Tidak dinafikan bahawa peperangan yang melanda dunia ketika itu memberi kesan yang sangat teruk, namun secara amnya industri mesin militari banyak membantu mencetuskan inovasi. Semasa peperangan dan juga selepas berlakunya peperangan, satu industri mencatatkan perkembangan yang pesat. Industri dimaksudkan adalah industri motosikal yang menyaksikan kemunculan beberapa jenama yang berjaya.
Selepas Perang Dunia Ke-2 berakhir, terdapat beberapa negara yang terpaksa bergelut dari sudut ekonomi. Di negara-negara ini, motosikal menjadi pengangkutan paling praktikal kerana murah dan dalam masa yang sama, cukup cekap. Manakala untuk negara-negara yang kaya, lebihan motosikal tentera telah mewujudkan budaya motosikal kustom yang kemudiannya berkembang di pertengahan abad ke-21.
Sebagaimana yang diketahui ramai, tiada apa-apa yang menarik pada era 1940an tetapi membawa sejarah penting dalam industri motosikal. Berikut, 5 buah motosikal terbaik yang dikeluarkan pada era 1940an!
BMW R75
Di permulaan dekad, Wehrmacht memerlukan motosikal berat dan kenderaan sisi dengan beberapa kemampuan yang khusus serta boleh digunakan di jalan lasak, mudah dikendalikan. Paling penting, boleh membawa senjata ringan. BMW Motorrad adalah jawapannya dan di sini lahirnya BMW R75.
Dikuaskan oleh enjin boxer-twin 745cc dengan 26 hp, R75 seterusnya menjadi motosikal perang ikonik. Walaupun tidak menawarkan statistik kuasa maksimum yang menakjubkan, R75 dikatakan lancar semasa ditunggang lebih-lebih lagi dengan pemegang bar luas, tempat duduk yang rendah dan boleh memuatkan sehingga 992 lbs muatan.
Namun begitu, kos penghasilannya bukan murah. Sebagai salah satu motosikal paling canggih ketika eranya, ia tidak sesuai dari sudut ekonomi. Pengeluaannya telah dihentikan pada tahun 1944. BMW kemudiannya menghasilkan 16,500 BMW R75. Hari ini, ia menjadi salah satu model paling dikenali sepanjang masa.
DKW NZ 500
DKW tidak terkenal seperti BMW tetapi ia mula dikenali ketika peperangan. Siri NZ mula dikeluarkan pada era 1930an dengan NZ 500 memasuki pengeluaran sekitar tahun 1939. Apa yang membuatkan jentera perang Jerman ini istimewa jika dibandingkan dengan BMW R75?
Enjin yang digunakan lain dari yang lain dan tidak bergantung kepada boxer-twin stereotaip Jerman, ia dikuasakan oleh enjin dua-lejang, dua silinder 489cc yang menghasilkan 18.5hp dengan gearbox 4-kelajuan dan diletakkan pada chasis yang inovatif.
Ciri-ciri paling inovatif pada DKW NZ 500 adalah penambahan suspension di bahagian belakang di mana ia boleh dilaraskan mengikut keadaan motosikal sama ada ditunggang secara solo atau bersama kereta sisi. Berbanding model NZ, motor 500 ini sangat jarang ditemui dan hanya 4,200 dikeluarkan. Unit solo banyak digunakan oleh polis dan tentera. Manakala motor dengan kereta sisi ini dikhaskan untuk kegunaan Wehrmacht.
Triumph Tiger 100
Triump Tiger yang asal tidak seperti gambar disediakan dan ia tidak direka untuk perang. Namun, sejarahnya dibentuk bermula dari Perang Dunia Ke-2. Ianya bermula pada tahun 1939 apabila jenama motosikal klasik British ingin meluaskan dan melihat potensi enjin parallel-twin keluaran mereka.
Dikuasakan parallel-twin 498 cc dan dinamakan sebagai “100” kerana catatan 100 mph pada kelajuan tertinggi, motosikal standard ringan ini direka sebagai jentera yang lebih santai tetapi mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Ia dilancarkan ketika perlumbaan endurance terpanjang Great Britain, diikuti 6 jam perlumbaan endurance di litar lagenda Brooklands. Namun, setahun selepas itu bencana menimpa jenama Triumph.
Pada 14 November 1940, bom jerman telah memusnahkan beberapa kawasan di bandar Coventry termasuk kilang pengeluaran Triumph factory. Bencana ini menyaksikan pengakhiran Triumph Tiger 100. Namun begitu, pengeluaran kembali diteruskan pada tahun 946 dengan menggunakan penambahan beberapa formula kejayaan Tiger. Tiger 100 menjadi kunci utama kejayaan beberapa lagi motor Triumph sehingga tahun 1973.
Vincent Black Shadow
Tidak sah kalau berbicara tentang motosikal era 1940an tanpa menyebut tentang motor Vincent Black Shadow. Beberapa model dihasilkan sekitar tahun 1950an tetapi kejayaan motor ini sangat singkat di antara tahun 1948 dan 1955. Hanya 1,700 unit pernah dihasilkan tetapi masih dikira sebagai motosikal era 1940an. Dianggap sebagai motor paling jarang dan sukar ditemui, Vincent Black Shadow menjadi antara motosikal yang kerap menjadi pilihan penyimpan koleksi motor-motor klasik.
Mungkin kerana jumlah pengeluaran yang kecil, dibina dengan tangan dan paling penting, prestasi menakjubkan motosikal ini. Dikuasakan oleh enjin V-twin 998cc, ia menghasilkan 55hp. Kalau itu masih belum mampu menarik perhatian, ia mampu mencatatkan kelajuan tertinggi pada 150.313 mph yang dicatatkan di Bonneville Salt Flats sekitar tahun 1948.
Tidak dinafikan, ia merupakan sebuah motor paling laju di eranya. Malangnya, impian Vincent berakhir apabila pengeluaran motosikal ini ditutup pada tahun 1955.
Zündapp KS 750
Baiklah, kita kembali ke Jerman. Satu lagi motor perang yang ikonik. Bukan DKW atau BMW tetapi Zündapp KS 750. Zündapp Werke GmbH berpusat di Nuremberg dand menjadi salah satu pengeluar kenderaan prolifik untuk tentera Jerman. KS 750 menjadi salah satu model dari jenama ini yang paling berjaya, menawarkan kombinasi sempurna di antara kuasa, pengendalian dan versatiliti.
Dikuasakan oleh enjin 4-lejang flat twin 751cc dengan output 26 horsepower, KS 750 sangat ideal digunakan di atas jalan lasak dan menampilkan ciri-ciri hebat seperti kalis air dengan rekaan bijak. Tidak seperti motosikal perang lain, ia direka lebih kepada kenderaan yang menyeluruh.
Ia merupakan motosikal yang berat tetapi sangat sesuai digunakan untuk jalan lasak dan beratnya membantu dari sudut versatilitinya. Ia digunakan sebagai pengangkutan untuk pegawai dan kargo, mengangkut tentera yang cedera dan beberapa misi penting. Boleh dikatakan, ia sebuah motosikal dengan pelbagai kegunaan dan hanya 18,635 unit dihasilkan di antara tahun tahun 1940 dan 1944.
Ada beberapa lagi motor yang disenaraikan sebagai motor terbaik era 1940an, mungkin boleh dibincangkan di lain waktu.
Sumber : Webbike.com