Pembukaan MotoGP untuk musim 2021 ini nyata tidak menyebelahi pasukan Petronas Yamaha SRT setelah kedua-dua pelumba taruhannya gagal menyerlah. Valentino Rossi dan Franco Morbidelli dikatakan berhadapan masalah yang menyekat mereka untuk beraksi cemerlang pada pusingan pertama musim ini.
Perlumbaan di Qatar ini menandakan detik permulaan untuk Rossi bersama pasukan baru tetapi masalah yang sama tetap menghantui pelumba Itali ini. Selepas menamatkan pusingan kelayakan di tempat keempat, Rossi berjaya menguasai litar di kedudukan ketujuh tetapi berhadapan dengan masalah tayar belakang.
Masalah dengan tayar belakang ini kerap berlaku kepada Rossi di musim lepas. Namun, di permulaan musim ini masalah yang sama kembali menghantui dan membuatkan Rossi terpaksa berpuas hati di tempat ke-12!
Manakala Franco Morbidelli pula mengesahkan beliau berhadapan dengan masalah teknikal. Menurut Morbidelli, bahagian belakang motor dirasakan seakan kosong seolah-olah tiada damping dalam shock. Membuatkan beliau terpaksa meneruskan perlumbaan 1 saat lebih perlahan.
Pusingan MotoGP di Qatar menyaksikan kemenangan kepada pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales berjaya menjuarai pusingan pertama dan mengetepikan juara MotoGP tahun lalu, Joan Mir dari pasukan Ecstar Suzuki.