Merangkap Sejarah Motosikal Yamaha Yang Pertama Bahagian 1

Jenama motosikal Yamaha sememangnya terkenal sekarang, apatah lagi di Malaysia. Banjaran motosikal Yamaha sekarang memang boleh didapati di dalam semua kelas termasuk skuter (NMAX, NVX, XMAX), kapcai (135LC, Y150ZR), jenis sport berkapasiti kecil (YZF-R15, YZF-R25), motosikal kapasiti pertengahan (MT-07, MT-09), sehinggalah Tracer 900 serta Tracer 900GT. Ini pun belum lagi dikira segala model yang dikeluarkan oleh Yamaha seperti YZF-R7, Tenere 700, YZF-R1, MT-10 dan sebagainya.

Bagi makluman, Yamaha juga terkenal dengan produk-produk lain seperti jet ski, bot, penjana kuasa mudah alih. Tetapi mereka memang terkenal juga dengan alat-alat music.

Sejarah Yamaha bermula pada tahun 1900 apabila Torakusu Yamaha memulakan syarikatnya yang bernama Nippon Gakki Seizo Kabushiki Kaisha atau Japan Musical Instrument Manufacturing Company (Syarikat Pembuat Alat Musikal Jepun). Mereka bermula dengan membuat piano dan membuat kipas (propeller) kayu untuk kapalterbang mulai tahun 1921.

Apabila Jepun menyerang negara China pada tahun 1937, tentera udara negara itu memerlukan lebih banyak kipas kapalterbang jadi Nippon Gakki berhenti membuat piano dan mula membuat kipas jenis aloi pula. Namun begitu, mereka hanya dapat menuang, menempa serta mengisar satu kipas setiap minggu.

Perang Dunia Kedua bermula untuk Jepun pada tahun 1941, Nippon Gekki tidak dapat menghasilkan kipas dengan lebih cepat untuk memenuhi permintaan. Oleh itu, mereka meminta pertolongan daripada Soichiro Honda. En. Honda mereka sebuah mesin automatik berkelajuan tinggi pada 1943 yang dapat membuat dua kipas untuk pesawat tempur Mitsubishi A6M2 Zero dalam masa 30 minit sahaja. Nippon Geki berkembang tatkala itu dan menggunakan seramai 10,000 pekerja dan juga menghasilkan tangki minyak serta sayap kapalterbang.

Setelah berakhirnya perang, Nippon Gakki kembali membuat alat-alatan music seperti harmonika. Syarikat tersebut masih mempunyai ramai pekerja yang mahir di dalam industri kapalterbang. Oleh yang demikian, presiden syarikat mengambil keputusan untuk membuat motosikal, memandangkan bahawa industri tersebut sedang berkembang pesat pada masa itu kerana rakyat Jepun memerlukan sesuatu kenderaan yang mudah dan murah.

Bagaimanapun, Kawakami tidak mahu membuat skuter ataupun basikal yang menggunakan enjin seperti syarikat-syarikat Mitsubishi serta Fuji. Sebaliknya, beliau mahu menggunakan kemahiran pekerjanya untuk menghasilkan motosikal yang berprestasi tinggi. Jadi beliau pun menghantar juruteranya ke beberapa pembuat motosikal Jepun untuk membuat pemerhatian.

Jurutera-jurutera beliau melaporkan bahawa pembuat Jepun dapat menghasilkan produk yang agak baik tetapi pembuat Eropah masih lebih bagus. Kawakami pun memutuskan untuk menghantar juruteranya ke benua Eropah dan mereka akhirnya menjumpai apa yang dimahukan di negara Jerman.

Pada suatu masa yang lalu, pengeluar motosikal terbesar di dunia merupakan jenama DKW. Tetapi pengkalannya terletak di sebelah Jerman Timur yang dikuasai oleh Kesatuan Soviet. DKW pun membuka sebuah kilang baharu di Inglostadt di daerah Bavaria (juga pengkalan BMW). Mereka mula menghasilkan model RT125 yang menggunakan enjin 2-lejang pada tahun 1949.

Negara Jerman Barat dikehendakki membayar pampasan setelah kalah di dalam Perang Dunia Kedua, maka keluaran DKW tidak boleh dipatenkan hakciptanya. Oleh itu, model RT125 ditiru oleh Harley-Davidson untuk menjadikan model Hummer. BSA juga menghasilkan sebuat model yang berbentuk serupa yang dipanggil Bantam. Model RT125 ini juga akan menjadi panduan kepada Nippon Gakki.

Jurutera-jurutera Nippon Gakki mula membangun model baharu mereka pada Oktober 1953 dan menguji prototaip YA-1 pada bulan Ogo 1954. Walaupun rekabentuk motosikal serta enjinnya menggunakan lejang dan gerek 52mm x 58mm seperti pada model RT125, Nippon Gakki tidak menirunya secara bulat-bulat. Sebagai contoh, kotak gear YA-1 dipacu menggunakan gear (seperti motosikal-motosikal moden) dan bukan oleh rantai. Selain daripada itu, enjin boleh dihidupkan dengan penendang kaki walaupun tanpa berada di gear neutral (free gear) selagi tuil gear ditarik. Motosikal lain hendaklah dihidupkan di dalam free gear.

Suspensinya juga menjadi rekabentuk yang moden. Fork depan serta peredam hentakan belakang menggunakan jenis teleskopik hidrolik. Tetapi, peredam belakang tidak menggunakan minyak gris, sebaliknya ia menggukan redaman minyak seperti fork hidrolik depan.

Model YA-1 ini juga menggunakan lambang yang kita kenal sehingga sekarang, iaitu tiga “garpu penalaan” (tuning forks). Garpu penalaan digunakan untuk menala noda piano, jadi ia digunakan sebagai satu lambang untuk menunjukkan sejarah Nippon Gakki. Lambang tersebut serta tema cat bewarna merah hati dan krim direka oleh pasukan yang diketuai oleh Profesor Koike daripada bahagian Seni dan Musik di Universiti Kebangsaan Tokyo. Mereka jugalah yang mereka bentuk botol kicap Kikkoman kelak.

Tamat Bahagian 1
Tamat di sini dahulu untuk Bahagian 1. Kami akan paparkan Bahagian 2 esok dan bagaimanakan Nippon Gakki mempopularkan model YA-1 jesteru menjadikan Yamaha sebuah jenama yang dikenali ramai.