BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan M1000 R Competition 2026 ke pasaran tempatan, sebuah naked sports berprestasi tinggi yang dibawa masuk dengan harga RM219,500. Harga ini tidak termasuk insurans. Model ini hadir dalam satu varian sahaja, M Competition Blackstorm yang dipadankan warna ikonik M Motorsport sekali gus menyerlahkan identiti mesin ini sebagai jentera berasaskan litar.
Sebagai model dalam keluarga “M”, M1000 R Competition dilengkapi pakej lengkap M Competition Package, merangkumi komponen gentian karbon matte seperti penutup roda, penutup tangki biru-merah, penutup airbox, fender hadapan dengan pelindung rantai, fender belakang, penutup sprocket, pelindung angin serta penutup tempat duduk penumpang. Set ini turut dipadankan dengan rim gentian karbon, winglet, rantai M Endurance, tapak kaki CNC yang boleh dilaras dan fungsi GPS laptrigger untuk mereka yang kerap turun ke litar.

Menambah kemasan premium, model ini diberikan lengan ayun Platinum Grey anodised serta tangki bahan api berwarna hitam, memperkukuh gaya agresifnya sebagai naked bike berfokuskan prestasi. Elemen-elemen seperti bateri ringan, sistem brek M, ekzos titanium dan tempat duduk M melengkapkan identiti keseluruhan jentera ini.
Dari segi kuasa, M1000 R Competition menggunakan enjin empat selari 999cc yang turut digunakan pada model RR. Ia menghasilkan 210hp pada 13,750rpm dan 113Nm pada 11,000rpm, cukup untuk pecutan 0–100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan melebihi 250 km/j. Semua ini dicapai sambil kekal mematuhi standard pelepasan Euro 5+.

Bahagian elektronik turut dipertingkat melalui sistem Riding Modes Pro, menawarkan tujuh mod termasuk Race Pro 1, 2 dan 3 yang boleh disesuaikan. Penunggang dapat melaras respons pendikit, kawalan traksi, brek enjin, kawalan wheelie dan ABS mengikut gaya tunggangan. Sistem DTC pula ditala dengan lebih halus untuk memberikan tahap cengkaman dan kawalan seakan model RR.
Melengkapkan ciri keseluruhan, M1000 R Competition hadir dengan lampu hadapan LED aliran dua serta logo M yang jelas pada bahagian air intake, menegaskan bahawa ini bukan sekadar naked bike biasa tetapi sebuah jentera yang membawa DNA perlumbaan BMW ke jalan raya.






















