Menunggang Motosikal Bakar Kalori Macam Bersenam Di Gym!
Memang ramai di antara kita yang mahu kurus, tapi malas bersenam dan makan pun tak ingat dunia. Apatah lagi ketika rumah terbuka dan musim masih belum berakhir. Jangan risau kerana anda mungkin ada satu cara mudah untuk mengurangkan lemak di perut itu. Caranya ialah dengan menungang motosikal!
Satu klip video yang dikongsi oleh Life of a Rider di media sosial mendakwa menunggang motosikal boleh membakar di antara 170 hingga 600 kalori sejam. Alasannya, ketika mengimbangi motosikal, anda bukan sahaja menggunakan tangan, tetapi kaki, pinggul otot belakang dan seluruh bahagian atas badan turut ‘bekerja’ tanpa anda sedari.
Penunggang juga banyak bergerak kerana perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Semua pergerakan kecil seperti menarik tuil brek dan klac tangan itu menggunakan tenaga. Jumlah kalori yang dibakar itu bagaimanapun banyak dipengaruhi oleh jenis motosikal dan laluan yang diambil. Sebagai contoh, mereka yang menunggang motosikal adventure di laluan off-road pastinya lebih penat daripada anda yang memulas pendikit skuter ke kedai mamak.
Walaupun dakwaan itu tidak disokong oleh mana-mana doktor atau saintis, namun ada logiknya juga. Jika anda selalu menunggang motosikal, penatnya memang lain macam berbanding memandu kereta. Peluh pun banyak, terutamanya kalau anda menunggang moosikal berkuasa tinggi yang lazimnya lebih besar, berat, panas dan memerlukan lebih fokus.
Ditambah pula apabila memakai jaket tebal, balaclava dan sarung tangan, peluhnya macam berlari maraton. Sebab itulah sebaik sahaja tiba di destinasi, perkara pertama yang dibuat ialah minum air, sebelum disulami oleh lemang Toki, rendang ayam, nasi lemak teh tarik dan sebagainya.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ