KTM 390 Duke
Saya adalah antara pengamal media permotoran yang cukup teruja apabila melihat model ini di depan mata yang tampak agak halus dan mudah. Seperti yang kita semua maklum, KTM Malaysia melakukan coretan agresif terhadap persaingan motosikal kelas pertengahan di Malaysia. Kemasukan model Naked di bawah 500cc alaf baru dengan pelbagai teknologi terkini dijangka menawan para penunggang khususnya remaja yang sentiasa mencari sesuatu yang baru di dunia permotoran. Saya juga tidak melepaskan peluang apabila ditawarkan menunggang uji KTM 390 Duke 2017 yang kebetulan ada tugasan di Kuala Terengganu. Seperti biasa, dua tugas berbeza dilakukan dalam satu masa yang sama; menunggang uji motosikal semasa perjalanan ke destinasi dan membuat liputan acara permotoran sebaik tiba di destinasi. Model ini diteliti secara berperingkat.
Reka Bentuk
Cantik dan bergaya. Sekali tengok sama seperti KTM 250 Duke tetapi tidak sama. Didatangi dengan rim berwarna jingga, casis jingga dan subframe berwarna putih, dimana casis jingga dan subframe putih merupakan unit yang berbeza. Tempat duduk yang terpisah antara penunggang dan pembonceng. Lampu ekor belakang serba baru jelas menampakkan motosikal agak besar. Jingga dan hitam padanan 2 warna terkini, jelas menunjukkan ia merupakan sebuah motosikal generasi terkini. Lampu depan LED, dilihat seolah-olah terpisah kiri dan kanan. Keunikan pemisah antaranya ialah ruang laluan air yang sengaja direka demi menjurus ke arah berlainan. Kedua-dua lampu berfungsi dengan baik serta cemerlang untuk penunggangan di waktu malam. Tangki minyak yang bersambung terasa sedikit pendek. Bagi saya, ia terasa seolah-olah “duduk di atas motosikal” istilah yang sering saya guna apabila tangki minyak berada di bawah paras pusat Namun itu bukan satu isu yang besar.
Ergonomik
Bagi isu ini, saya amat bersetuju dan telah dibuktikan tepat. Pengalaman menunggang ke Sg Petani cukup memberikan kelegaan terutama sekali bahagian punggung dan belakang saya. Ergonomik telah berubah kerana kedudukan tangki minyak, tempat duduk serta pemijak kaki. Banyak ruang untuk bergerak, contohnya lutut boleh dikunci di tangki minyak yang dibentuk serba baharu. Tempat duduk yang besar dan lebar. Keselesaan yang ketara bagi tunggangan jarak jauh mahupun dekat. Kedudukan kedua kaki cukup selesa walaupun ianya bergaya terkini. Pembonceng akan merasa sedikit tinggi dari penunggang. Pelana (seat) yang terpisah bukanlah satu isu, kedudukan pemijak kaki untuk pembonceng telah dipasang bersesuaian dengan ketinggian, malah pembonceng dapat merasakan keselesaan. Cermin sisi telah dinaikkan sedikit dan pemegang hendal agak ke bawah yang membuatkan segala beban penunggang dari bahagian belakang, tangan akan turun kepada pemegang hendal. Mungkin rekaan ini akan lebih mengurangkan stress (tekanan) ketika menunggang dan saya dapat rasakannya bagi perjalanan yang jauh. KTM telah menambahbaik motor keluaran mereka setelah mengesan masalah penunggang demi memperbaiki mutu motosikal keluaran mereka.
Instrumen Kluster Dan Speedo
Seperti yang pembaca dapat lihat, perubahan begitu ketara pada KTM 390 Duke ini. Motosikal terkini, itu pengkelasan yang saya boleh katakan. Cahaya pada rpm akan berubah apabila mencecah 6,000 rpm dan keatas. Meter bukanlah suatu unit yang biasa saya lihat sebelum ini. Meter ini digabungkan bersama untuk menunjukkan kepada penunggang perkara-perkara yang membantu semasa menunggang. Antaranya penunjuk purata kelajuan, jumlah bahanapi yang ada serta jarak penggunaan dan masa. Bukan itu saja, meter juga boleh diubahsuai mengikut kesesuaian yang dikehendaki berdasarkan apa yang terkandung di meter tersebut. Kecanggihan KTM 390 Duke ini terserlah dengan adanya Mod KTM MY Ride. Semua ini ada di meter.
Saya telah mencuba mod ini, mudah saja aktifkan bluetooth di telefon anda. Kemudian buka kunci motosikal tanpa hidupkan enjin. Tekan suis yang terdapat di sebelah kiri pemegang hendal, lihat di panel meter sehingga tertera Mod KTM MY RIDE. Seterusnya, padankan bluetooth yang ada di motosikal. Simbol bluetooth akan tertera di meter. Tambahan pula, topi keledar keluaran terkini banyak dilengkapi kemudahan bluetooth. Cukup mudah nombor pemanggil akan tertera di skrin meter apabila ada panggilan walaupun anda sedang menunggang.
Saya mula jatuh cinta dengan KTM 390 Duke kerana sambil menunggang, saya dapat berhibur, mendengar berita secara langsung melalui radio yang terdapat di telefon serta menerima dan membuat panggilan tanpa perlu menghentikan motosikal. Wow! Banyak sungguh kelebihan. Apa lagi keistimewaan KTM 390 Duke? Sistem ABS yang boleh diubah dan disesuaikan mengikut kehendak penunggang bersesuaian dengan permukaan jalan atau dikenali Mod Dwi Saluran. Road Mode, mod yang biasa digunakan di jalanraya. Mod Super Moto, tidak terdapat di semua jenis motosikal. Hanya ada pada KTM 390 Duke dan keluarga model motosikal KTM. Mod Super Moto cukup sofistikated, di mana kawalan brek ABS hanya berfungsi pada tayar depan, manakala tayar belakang menggunakan sistem brek biasa. Kepada yang kurang berpengalaman, nasihat saya memadai menggunakan Mod Road. Segala kawalan mod tersebut terdapat pada suis-suis di sebelah kiri pemegang hendal.
Enjin dan Kotak Gear
Enjin KTM 390 Duke dibuat khas, licin dan dilentur melalui Ride By Wire (Throttle Wayar) membuatkan saya cukup senang menjinakkan motosikal. KTM telah meningkat saiz Peti Udara (Airbox) sebanyak 2mm. Sistem EVAP digunakan bertujuan menjimatkan minyak sehingga 5-7 peratus. Topik penjimatan minyak terbukti, Klang ke Kuala Terengganu. Tak percaya tapi kena percaya. Saya mulakan perjalanan dengan tangki penuh dari Klang, meleper di Karak, meredahi LPT1 dengan kekalkan pecutan minimum 130km/j dan maksima 160km/j. Panel digital meter di situasi sebegini membantu saya. Info baki minyak mengikut pecutan semasa serta jumlah jarak tertera di skrin panel meter. Jadi dengan adanya sistem sebegini, apa yang perlu dirisaukan? Kita boleh mencongak jarak perjalanan bersandarkan info yang sedia ada. Canggih bukan? Ya, terkejut dan harus percaya yang KTM 390 Duke tidak mengecewakan.
Saya berjaya tiba ke Petronas RnR Gambang untuk menambah minyak. Fikir dan kira sendiri, berapa jauh jaraknya bagi sebuah motosikal tidak sampai 400cc. Saya amat berpuashati bila hajat untuk memecut sehingga 160km/j tercapai. Mengkagumkan bagi sebuah motosikal Naked di kelas pertengahan dengan keupayaan yang tidak mengecewakan. Sesi ujian kali ini bukanlah menjurus kepada peningkatan prestasi, tetapi lebih ke arah menjinakkkan motosikal serta menjadikan model ini senarai pilihan kepada mereka yang tercari-cari motosikal kelas pertengahan mengikut kemampuan.
Saranan saya kepada mereka yang sangsi dengan keupayaan model ini, jangan lepaskan peluang andai pihak KTM Malaysia mengadakan Road Show di tempat anda. Datang dan cuba motosikal idaman. Rasai sendiri keistimewaan yang sedia ada pada KTM Super Duke 390 ini.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 56