KTM Super Duke 1290 GT
KTM Super Duke 1290 GT telah dibawa masuk ke tanah air beberapa tahun lepas dan ia amat membanggakan kerana Malaysia merupakan negara pertama yang memperkenalkan model ini di pasaran Asia sekali gus memenuhi kehendak para peminat motosikal yang sentiasa menantikan sesuatu yang baru dan terkini. Model import (CBU) dari Austria ini hangat dibicarakan di kalangan pencinta model Sport Tourer di Malaysia. Justeru itu, langkah yang diambil KTM Malaysia (Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd) selaku pengedar rasmi KTM dilihat sebagai sesuatu yang bijak.
KTM 1290 Super Duke GT mendapat jolokan sebagai Sport Touring V-twin terpantas di dunia oleh kumpulan media permotoran dunia yang dijemput khas bagi mencuba, merasa serta menilai model ini di atas jalan yang mencabar serta pelbagai kondisi di Sepanyol. Hebat sejarah motosikal ini. Apakah yang hebatnya?
Peluang yang diberikan kepada Roadstar untuk menunggang uji Super Duke 1290 GT tidak disia-siakan. Kebetulan, saya diberi tugasan membuat liputan di Kelantan dan kesempatan ini digunakan untuk menunggang uji dengan perjalanan sejauh hampir 500km. Multitasking. Di awalnya, saya menjangkakan jentera dari Austria ini tinggi seperti model-model KTM yang pernah diuji dahulu. Jangkaan itu kurang tepat, kerana saya yang berketinggian 5 kaki 5 inci masih mampu berpijak ke bumi tanpa membuka tongkat. Namun begitu, ia masih lagi boleh dikategorikan sebagai motosikal tinggi. Tahniah kepada pengeluar kerana peka dengan keperluan serta memenuhi selera para peminat KTM di Asia.
Bukan itu sahaja, pada KTM Super Duke 1290 GT ini dilengkapkan dengan platform enjin LC8, motor drive-by-wire, pemetaan EFI baharu, sistem ekzos dari keluli tahan karat menepati standard Euro IV, suspensi semi aktif WP, ABS, kawalan traksi, 3 mod tunggangan (Sport, Street dan Rain). slipper klac, tangki minyak 23 liter dan paling canggih menggunakan teknoloji Formula 1. Memang hebat tetapi, adakah ia benar atau sekadar hiasan untuk promosi? Maka bermulalah tugas saya menguji, mencari kelemahan serta mencabar kewibawaan jentera ini.
Menggunakan enjin 1,301 cc V-Twin dan menjana 173hp serta 144Nm tork dengan enjin yang berkedudukan 75 darjah. Padat, berprestasi unggul dan dapat dibayangkan ini bakal memberi kuasa tunggangan walaupun sebagai sebuah jentera Sport Touring. Sistem Drive By – Wire Keihin EFI, satu sistem yang lazimnya digunapakai oleh Superbike telah diadaptasi ke atas jentera ini menerusi slipper Clutch Hidraulik, di mana penyaluran kuasa melalui kotak gear dari enam kelajuan.
Casis atau kerangka dari besi Chrome Moly, sistem suspensi WP Semi Aktif terpasang di bahagian depan dan belakang, jarak mendapan 125mm dan 156mm. KTM tidak mengabaikan isu keselamatan. Ini dapat dilihat dengan pemasangan sistem Twin Brembo monoblok dengan caliper 4 piston dan cakera 320mm di hadapan serta sistem Brembo Tunggal dengan caliper 2 piston di belakang.
Selain itu, ABS dari Bosch juga dipasang. Sekilas pandang, tangki minyaknya kelihatan besar tetapi kapasiti sebenarnya adalah 23 liter. KTM Super Duke 1290 GT ini kelihatan kompak dan padan, tetapi beratnya hanya 205kg dan ia tentu memberi satu kelegaan kepada bakal pemilik model ini. Seperti dikatakan awal tadi, sesi tunggang uji kali ini dua dalam satu, sambil menguji saya juga berkesempatan melaksanakan tugas membuat liputan. Perjalanan ke Kelantan dimulakan pada lewat malam kerana terlebih dahulu motor ini diambil dari ibu pejabat KTM di Kota Damansara pada lewat petang.
Dalam masa sesingkat itu saya perlu mengenali, mencuba dan mendengar panduan dari kakitangan KTM tentang model ini sebelum memulakan perjalanan jauh secara solo. Tumpuan utama saya adalah pada Fuel Range (bahanapi mengikut jarak). Berbaki 8 liter dan saya menambah sebanyak 15 liter bagi memenuhkan tangki yang boleh memuatkan 23liter.
Disebabkan menunggang secara solo dan kali pertama menungang model sport touring canggih, saya mengambil jalan selamat dengan menyusuri Lebuhraya Pantai Timur ke Negeri Terengganu walaupun jaraknya agak jauh. Mengikut perkiraan saya, jalan pintas melalui Gua Musang lebih cepat tetapi permukaan jalan yang kurang elok dari Kuala Lipis hingga Gua Musang, ditambah pula dengan keadaan jalan yang gelap, saya memilih untuk mengelak risiko.
Cuaca cukup baik sepanjang perjalanan dan Super Duke 1290 GT tidak mengecewakan dengan simbahan lampu, sama ada lampu rendah atau tinggi, kedua-duanya memenuhi citarasa saya. Ketika lampu rendah, jarak simbahannya cukup membantu, tiada pembaziran pada simbahan kiri dan kanan tiada pembaziran. Simbahan lampu hanya menyuluh kepada jarak yang dperlukan penunggang ketika menunggang di waktu malam hari. Lampu tinggi juga berfungsi dengan baik, menyuluh pada ketepatan hala tuju dan jarak simbahan cahayanya menepati sasaran.
Jangan terkejut apabila mengambil selekoh kiri atau kanan kerana terdapat satu lagi bantuan cahaya LED yang terpasang pada fairing dan direka khas bagi membantu ketika mengambil selekoh. Saya mencuba dalam pelbagai darjah ketika mengambil selekoh. Semakin rendah saya membelok, lampu LED menjadi semakin terang. Kesimpulannya tiada keraguan untuk mengambil selekoh di waktu malam. Canggih betul. Selesai satu ujian dan cabaran saya pada jentera ini. Apa lagi kelebihannya?
3 Mod tunggangan yang ada pada Super Duke 1290 GT tidak disia-siakan. Saya mencuba ketiga-tiga mod; Sport, Street dan Rain. Berlenggang-lenggok di sepanjang lebuhraya Karak yang dikenali sebagai litar hari minggu untuk mengasah tayar oleh pencinta 2 roda. Saya menggunakan sport pada mod tunggangan, sementara sistem redaman(Damping) diletakkan pada mod sport dan sistem suspensi(WP) pada single rider dan pannier box. Pengubahsuaian ini tepaksa dilakukan mengikut kesesuaian permukaan jalan dan keselesaan ketika menunggang. Situasi di lebuhraya Karak sangat sesuai dengan penetapan fungsi-fungsi yang digunakan. Tidak sia-sia sistem yang terhidang pada jentera CBU dari Austria ini dibawa masuk ke Malaysia. Cengkaman, kelembutan memasuki selekoh dan paling seronok, penukaran dari gear rendah ke gear tinggi yang berteraskan sistem slipper klac jenis hidraulik.
Kawalan pada model seberat 205kg ini cukup mudah walaupun ia dibekalkan dengan pannier box. Tidak dinafikan, perwatakan motosikal keluaran KTM agar kasar. Bunyi enjinnya sudah cukup mendebarkan tetapi ada kelembutan yang perlu diterokai. Apabila menunggang model KTM, maka tersiratlah apa yang terpendam. Kedinginan malam makin menghantui dengan simbahan angin yang datang dari depan. Apatah lagi keika memecut, windshield yang tersergam di depan boleh dinaik-turun tetapi secara manual. Lumrah.
Mana-mana motosikal pun pasti ada kelemahan. Tidak perlu menghentikan motosikal, tetapi terpaksa diperlahankan agar windshield dapat dinaikkan mengikut keselesaan dan mengelak halangan angin dari depan. Cabaran ini berjaya dilakukan tanpa membuang masa untuk memberhentikan motosikal. Inilah yang dikatakan mencabar. Perjalanan seterusnya, saya menyusuri LPT setelah puas berseronok melalui pelbagai selekoh di lebuhraya Karak. Di peringkat ini, fokus ujian adalah pada pecutan dan pengunaan bahanapi (minyak). Ujian tambahan pula pada kestabilan motosikal sewaktu pecutan.
Mod tunggangan diubah ke “Street”. Mod Redaman (Damping) dikekalkan pada Mod “Sport”. Suspensi masih lagi kekal pada penunggang solo dan pannier box. Penukaran gear jarang dilakukan sepanjang ujian menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur. Minima kelajuan saya kekalkan pada 140km/j dam ini boleh dilakukan dengan sistem “Auto Cruise” yang sedia ada. Sistem ini sama dengan yang terdapat di kereta mewah. Ada masanya pecutan saya naikkan pada 200km/j. Macam tak percaya. Masa yang diambil tidak lama dengan jarak jauh tanpa penukaran gear, Super Duke 1290 GT menunjukkan belangnya. Prestasi cukup hebat dan menakjubkan. Tentu ramai yang bertanya untuk model touring, “bergoyang tak ketika bawak laju?”
Jawapan saya mudah sahaja. Penetapan mod yang tepat berdasarkan situasi jalanaraya, maka penunggang akan merasai kenikmatan sebuah motosikal dan cukup berpuas hati. Itu yang saya rasa sepanjang menguji sejauh 265km pada malam itu. Hentian Rawat dan Rehat Gambang menjadi tempat pilihan bikers bagi menambah minyak untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu melalui LPT 2.
Saya juga bercadang untuk menambah minyak tetapi diabaikan kerana pada paparan Digital Meter KTM Super Duke 1290 GT, bahanapi masih lagi berbaki 3 bar dan mampu bergerak sejauh 200km lagi. Agak terkejut juga tetapi sangat jimat betul dengan kadar pecutan yang telah lakukan. Saya mencabar sistem pada motor ini sekali lagi dengan menukar pada mod redaman (Damping). Saya ubah dari mod “Sport” kepada mod “Comfort” dan Mod suspensi juga ditetapkan kepada Mod Penunggang Solo tanpa pannier Box. Sedangkan motosikal ini dibekalkan dengan Pannier Box. Ini cabaran untuk motosikal, adakah ia mampu membantu penunggang atau sebaliknya?
Jarak perjalanan dari Hentian Gambang hingga ke penghujung LPT 2 adalah sejauh 250km. Perjalanan diteruskan tanpa pengisian minyak dengan kelajuan dikekalkan pada 140-160km/j. Jalan yang lengang bukan satu alternatif untuk melakukan pecutan, apatah lagi dengan keadaan permukaan jalan yang agak bergelombang. Pemanas tangan (heater) dihidupkan demi mengelakkan jari-jari kebas dek kedinginan awal pagi. Mengikut perancangan yang telah dirangka lebih awal, saya akan berhenti dan melelapkan mata seketika di Kuala Terengganu sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Baru, Kelantan. Saya menyasarkan untuk mengakhiri perjalanan di LPT2 di Plaza Tol Ajil. Jarak dari Hentian Gambang ke Plaza Tol Ajil lebih kurang 236km. Sementara jarak dari Plaza Tol Ajil ke Kuala Terengganu lebih kurang 34km. Jarak keseluruhan yang harus ditempuhi 270km. Adakah bahanapi mencukupi?
Jika tidak mencukupi, saya ada cara tersendiri agar bahanapi sedia ada cukup untuk sampai ke destinasi. Penetapan pecutan seperti dikatakan awal tadi dari hentian gambang dan berakhir di Plaza Tol Ajil berjaya saya lakukan dalam masa 1jam 20 minit. Antara percaya dan tidak, apabila melihat paparan digital meter, bekalan bahan api berbaki lagi 1 bar setengah. Mungkin ada yang berkata tak logik dengan pecutan sedemikian. Oh, caranya mudah sahaja. Turunkan windshield pada paras paling rendah, halangan angin hanya tertumpu pada badan. Namun dengan menundukkan sedikit kepala, kaki dikepit dan kedua tangan dikepitkan, segala halangan angin berkurangan. Saya tersenyum kerana berbaki jarak 34km dengan minyak yang ada dan pecutan dikekalkan pada 120km/j. Saya selamat tiba di Kuala Terengganu tanpa sebarang penambahan minyak.
Jika jentera ini digelar sebagai model Sport Tourer paling laju, maka ia sangat tepat. Tork yang cukup tinggi, berat yang boleh dikategorikan sebagai ringan selain pelbagai mod kawalan yang berfungsi mengikut kesesuaian permukaan jalanraya dan juga mengikut selera serta kehendak penunggang secara tidak langsung membuktikan kesungguhan KTM bagi memastikan motosikal keluaran mereka setanding malah mengatasi pesaing pada kelas yang sama.
Sepanjang 4 hari menunggang uji KTM Super Duke 1290 GT, secara peribadinya saya merasakan kelemahan yang jelas hanya pada windshield di mana sistem manual digunapakai. Namun saya yakin, jurutera pereka jentera KTM sentiasa melakukan kaji selidik serta berusaha menambah baik di setiap kelemahan yang ada pada mana-mana model keluarannya. Ini dibuktikan menerusi motosikal keluaran KTM sebelum ini yang tidak pernah dibekalkan dengan sistem Slipper Klac hidraulik.
Saya berpuashati dengan ujian yang dilakukan dan menunggu peluang untuk beraksi menguji model 2017, KTM Super Duke 1290 R. Semoga hasil ujian ini memberi info berguna kepada peminat “Sport Touring” yang masih mencari motosikal idaman. Kami tidak melakukan tunggang uji ini sebagai promosi tetapi menguji dan memberi bukti sebagai panduan untuk anda membeli.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar 47