Berita baik untuk para peminat Justin Bierber atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Beliebers’, baru-baru ini Vespa mengumumkan kolaborasi dengan penyanyi terkenal dunia itu. Mungkin ianya bukan sesuatu yang dihargai oleh semua peminat dua roda tetapi sekurang-kurangnya, model ini masih boleh dihargai kerana penampilannya yang cukup kemas dan bersih.
Menurut Justin Bieber, menunggang Vespa memberikan kebebasan dan menyeronokkan. Justeru, peluang berkolaborasi dengan Vespa ini memberi peluang untuk beliau bersama-sama mencipta sesuatu dengan sentuhan unik. Menerusi kolaborasi ini, warna monokrom digunakan yang ditawarkan dalam tiga varian; Vespa klasik 50, 125 dan 150cc ini didatangkan serba putih sehingga jejari rim dan logo jenama ini juga putih di atas warna putih. Malah, corak api juga dalam warna putih yang ada pada jentera ini.
Para pembeli bukan sahaja dapat menikmati nilai estetik Biebs menerusi kolaborasi ini, malah berpeluang merasai usaha pengeluar dalam mematuhi undang-undang terhadap alam sekitar terkini yang diturut dilengkapi dengan kelengkapan moden. Ia juga dilengkapi dengan pemapar TFT pelbagai fungsi yang berkebolehan menyegerakkan semua fungsi telefon pintar. Sesiapa yang ingin memiliki Bieber x Vespa ini akan mendapat kualiti terbaik pada harga yang ditetapkan.
Selain itu, para pembeli untuk edisi khas eksklusif ini juga bakal menerima koleksi aksesori yang menarik seperti beg, sarung tangan dan topi keledar putih. Tempahan untuk model ini akan dibuka pada 18 April ini di Amerika Syarikat dan 20 April untuk pasaran Eropah.
Sumber : Webbikeworld